suria

Mayat lelaki warga emas ditemui atas bumbung rumah

Bomba sedang membawa turun mayat lelaki warga emas tersebut menggunakan tangga. Foto: Sinar Harian

MAYAT seorang lelaki ditemukan di atas bumbung sebuah rumah di Lorong Bunga Raya, Taman Bunga Raya, Sungai Petani, pada Jumaat.

Keadaan itu menyebabkan pasukan bomba dihubungi bagi membantu menurunkan mayat berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas kira-kira pukul 9.48 pagi.

"Pusat Gerakan Operasi Kedah menerima panggilan melalui sistem MERS 999 sebelum satu jentera bomba BBP Amanjaya diarahkan ke lokasi," katanya.

Menurutnya, sepasukan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Shahrim Ismail tiba di lokasi pada kira-kira pukul 10.11 pagi.

"Setibanya di lokasi, didapati mayat lelaki berusia 60 tahun itu berada di atas bumbung sebuah rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamadul Ehsan berkata, komander operasi kemudiannya mengarahkan anggota untuk membawa mayat mangsa turun dengan tangga.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambahnya mayat warga emas tersebut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Alex Yeow CEO baharu SMG

Artikel Lain