suria

“Saya sihat, tiada rasa luar biasa” - PM kongsi perkembangan selepas suntikan vaksin Covid-19

Muhyiddin berkongsi perkembangan kesihatannya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

PERDANA Menteri, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi perkembangan kesihatannya, dengan memaklumkan baahwa beliau sihat selepas disuntik vaksin Covid-19.

"Alhamdulillah, hari ini hari kedua selepas mendapat suntikan vaksin Covid-19. Semuanya berjalan dengan baik, saya yakin ini vaksin yang selamat, vaksin berkesan.

"Jadi ramai nak tanya saya hari ini bagaimana keadaan saya. Alhamdulillah, saya berasa sihat, tiada rasa demam, tiada rasa luar biasa, makan macam biasa, selera pun macam biasa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PM jadi individu pertama disuntik vaksin Covid-19 di Malaysia

Muhyiddin berkata demikian menerusi satu rakaman video berdurasi dua minit dan 40 saat, yang dikongsikan di laman sosial milik beliau.

Beliau turut menyeru semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk menyokong usaha kerajaan dan negara bagi melandaikan Covid-19 dan seterusnya berakhir wabak tersebut.

"Dengan cara kita ramai-ramai mendaftar diri kita untuk mendapatkan suntikan menerusi aplikasi MySejahtera," katanya.

Menerusi video berkenaan, Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan bahawa telah menerima tarikh temu janji untuk suntikan dos kedua yang dijadualkan pada 17 Mac depan.

Mengucapkan kesyukuran, Muhyiddin turut menyeru orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun telah menerima vaksin.

"Pakai pelitup muka, cuci tangan seperti biasa, jaga penjarakkan fizikal seperti biasa, jangan pergi tempat ramai-ramai (orang), ini harus kita teruskan walaupun telah diberikan suntikan vaksin," katanya.

Pada Rabu, Muhyiddin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan dos pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

Turut menerima dos pertama vaksin itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



Artikel Berkaitan

Artikel Lain