suria

Budak setahun kena kompaun sebab tak pakai mask, Ismail Sabri anggap tindakan pengurusan kondo tidak munasabah

Jelas Ismail, pihak pengurusan kondominium itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melakukan tindakan sedemikian. Foto: AZMAN GHANI/The Star.

TINDAKAN yang tidak munasabah.

Demikian komen Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu tular seorang kanak-kanak berusia setahun yang dikompaun oleh pengurusan sebuah kondominium di Ampang, Selangor kerana tidak memakai pelitup muka.

Jelas Ismail, pihak pengurusan kondominium itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melakukan tindakan sedemikian.

"Arahan memakai pelitup muka atau sebarang prosedur operasi standard (SOP) berada di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Tindakan mengeluarkan kompaun boleh diberikan kepada KKM dan mereka yang diperturunkan kuasa oleh KKM, yang mana setakat hari ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa itu.

"Setakat ini kita tak bagi kuasa kepada pengurusan kondominium, apartment mahupun pejabat mana-mana untuk ambil tindakan.

"Apa yang dilakukan oleh pengurusan sebuah kondominium itu tak boleh dilakukan, harap mereka tarik balik kompaun RM100 yang diberi kepada kanak-kanak usia setahun itu," katanya dalam sidang media pada Khamis petang.

Dalam pada itu, Ismail turut mengulas isu empat pelajar berusia 17 tahun yang keluar dalam satu kereta yang pemandunya disaman RM1,000 kerana didakwa melanggar SOP kerana kesemua mereka tinggal berasingan.

Ia sekaligus menimbulkan kekeliruan berhubung isu had penumpang dalam sesebuah kenderaan.

"Tidak pernah disebutkan, mengatakan hanya daripada rumah sama. Jadi bermakna kalau tidak disebut, bermakna tidak timbul isu kena alamat sama dan sebagainya.

"Bebas dari segi penumpangnya, bebas dari rumah berbeza, asalkan ikut kapasiti tempat duduk.

"Daripada rumah berbeza pun boleh, bukan rumah sama," jelasnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain