suria

Vaksin Covid-19... Siapa berisiko, kesan dan teori konspirasi antara 10 perkara yang anda perlu tahu

Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 bertujuan untuk memutuskan rantai yang wabak penyakit.

BEKALAN pertama vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech dijangka tiba ke negara ini dari Puurs, Belgium pada akhir bulan ini.

Ketibaan vaksin itu bakal menjadi program vaksinasi terbesar di Malaysia menerusi Program Imunisasi Covid-19 yang dilaksanakan dalam tiga fasa sehingga Februari 2022.

Menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 600 pusat yang terdiri daripada fasiliti kesihatan KKM, hospital universiti dan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikenal pasti sebagai pusat pemberian vaksin.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia mulakan kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19,62 sukarelawan terima suntikan

Sasaran suntikan vaksin ini melibatkan 26.5 juta orang atau 80 peratus populasi negara untuk membentuk herd immunity. Penyumbang utama untuk pembentukan imuniti berkelompok ini ialah kumpulan Fasa 3 - individu sihat berumur 18 tahun ke atas.



Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah memberitahu Program Imunisasi Kebangsaan dengan slogan Lindung Diri, Lindung Semua ini bertujuan untuk mengekang Covid-19 melalui vaksin bagi melindungi diri daripada wabak ini.

"Persediaan dari segi teknikal sedang giat dijalankan oleh kerajaan. Pertama, taklimat dan latihan sedang giat diberikan kepada anggota yang terlibat," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai Program Imunisasi Kebangsaan ini, Dr Suhazeli menjawab beberapa soalan lazim mengenai vaksin tersebut.

1. Apakah matlamat imunisasi Covid-19 ini?

Matlamat imunisasi Covid-19 ini untuk memutuskan rantaian wabak penyakit. Kedua, adalah untuk melindungi kita semua daripada terus dicengkam wabak dan ketiga untuk mengembalikan semula ekonomi negara serta kehidupan normal seluruh rakyat.

2. Siapakan golongan sasaran Program Imunisasi Kebangsaan ini?

Pemberian vaksin ini terbahagi kepada tiga fasa yang utama di mana ia akan bermula pada akhir Februari nanti.

Fasa 1 (Feb-April): Diberikan kepada barisan hadapan seperti petugas kesihatan, polis tentera, Rela, bomba dan individu yang terlibat di barisan hadapan. Senarai nama lengkap dalam proses pendaftarannya.

Fasa 2 (April-Ogos): Adalah golongan yang berisiko seperti orang yang berumur 60 tahun dan ke atas dan juga mempunyai penyakit-penyakit kronik.

Fasa 3 (Mei-Feb 2022): Adalah bagi individu awam yang berumur 18 tahun ke atas.



Vaksin adalah salah satu kaedah untuk memutuskan penularan Covid-19.

3. Adakah masyarakat perlu mendaftar untuk mendapatkan vaksin ini?

Kerajaan akan menggunakan sepenuhnya teknologi terkini termasuk aplikasi MySejahtera yang sudah mencapai 27 juta pengguna.

Justeru, melalui kaedah ini kita akan lebih mudah untuk mencari nama atau mengenal pasti siapakah yang telah menerima vaksin atau sebaliknya.

4. Apakah kepentingan vaksin ini yang sepatutnya masyarakat faham?

Vaksin adalah salah satu bentuk ikhtiar yang dibuktikan melalui sains perubatan. Melalui kajian-kajian yang telah dijalankan, vaksin dibina untuk mencegah sesuatu penyakit.

Bagi Covid-19, vaksin ini ditemui dan dibina oleh beberapa syarikat pengeluar dan semuanya dihasilkan berlandaskan kajian bahawa vaksin yang kita berikan kepada rakyat adalah berkesan, selamat dan stabil.

Inilah ikhtiar dan kaedah penting bagi mengekang penularan wabak Covid-19 daripada terus mencengkam dunia dan negara kita sekaligus mengembalikan rutin kehidupan seperti sediakala.

5. Boleh kongsikan mengenai mitos vaksin yang ramai masih mempercayainya?

Terlalu banyak mitos diperkatakan berkaitan vaksin Covid-19 termasuk segelintir pihak mendakwa pembuatan vaksin ini adalah hasil daripada konspirasi kuasa Barat dengan mencipta virus Covid-19.

Pihak ini kemudiannya mencipta pula vaksin bagi tujuan ia dijual dan mendapat keuntungan besar daripadanya. Bukan setakat itu sahaja, mereka mendakwa vaksin itu adalah salah satu daripada usaha untuk membunuh masyarakat dunia bagi mengurangkan populasi.

Mitos dan teori konspirasi ini adalah tidak benar sekali. Mana mungkin sebuah negara yang berdaulat ingin membunuh rakyat mereka sendiri? Kita lihat dari sudut sejarah pembinaan dan pembangunan vaksin sekalipun sejak daripada berpuluh-puluh tahun bahawa vaksin itu menyelamatkan umat manusia. Lebih dari 20 juta kanak-kanak diselamatkan sejak daripada pemberian vaksin Polio dan lain-lain.

Masyarakat dunia bukan semakin berkurang daripada jumlah dua billion pada satu ketika dahulu dan sekarang ini sudah pun mencecah kepada tujuh billion. Manusia akan semakin bertambah, ini adalah hasil daripada kesihatan manusia yang semakin baik. Antara salah satu daripada faktornya adalah pemberian vaksin. Begitu juga dengan pembinaan vaksin Covid-19 ini adalah untuk mengekang supaya ramai lagi manusia dapat diselamatkan dari virus ini, bukan untuk membunuh mereka.

Bill Gates salah seorang daripada penyumbang terbesar dalam pembuatan vaksin Covid-19 ini dituduh sebagai berkomplot untuk memasukkan nanochip semata-mata ingin mengawal manusia dan akhirnya membunuh manusia melalui nanochip dan gelombang 5G.

Peranti nanochip dan 5G ini juga satu daripada mitos yang tidak benar. Pakar terlibat dalam peranti nanochip teknologi menafikan bahawa wujudnya peranti sekecil itu dalam dunia buat masa ini. Sudut teorinya ia memang ada tetapi realitinya tidak pernah wujud peranti bentuk nano. Bahkan 5G sendiri pun masih lagi dalam pembangunan di seluruh dunia. Negara kita sendiri pun masih belum lagi mencapai tahap 5G.

Vaksin Covid-19 jenis mRNA yang dikeluarkan oleh Pfizer-BioNTech dan Moderna dituduh boleh mengubah DNA manusia sehinggakan manusia akan menjadi zombie pada masa depan.

Mitos seperti ini terus berlegar dalam kalangan manusia yang jahil dalam ilmu. Teknologi mRNA adalah satu teknologi yang baru dalam membina vaksin Covid-19 ini. Ia telah dibuktikan selamat melalui pelbagai kajian yang dilakukan.

Sains perubatan telah menerangkan bahawa vaksin Covid-19 jenis mRNA ini adalah salah satu daripada bahan digunakan untuk menghasilkan protein dan akhirnya membentuk antibodi (sel pertahanan badan). Vaksin ini tidak pun mengganggu DNA badan atau mengubah keturunan dan juga tingkah laku.



Sasaran suntikan vaksin ini juga adalah 26.5 juta orang atau 80 peratus populasi negara untuk membentuk herd immunity.

6. Berapa lama vaksin ini dapat melindungi dan bertahan kepada manusia?

Vaksin adalah satu kaedah yang baharu ditemui. Justeru, berapa lama antibodi yang terbina itu bertahan dalam badan, masih belum diketahui sepenuhnya.

Tetapi beberapa jangkaan daripada pakar yang terlibat dalam vaksin menjangkakan bahawa antibodi akan boleh bertahan dua hingga tiga tahun. Namun perlu diingat bahawa jumlah antibodi ini akan berkurangan mengikut masa. Semakin lama berada dalam badan, ia akan semakin pupus dan hilang. Kajian lanjut harus di perhatikan dari masa ke semasa.

7. Bagaimana sebenarnya vaksin ini berfungsi? Adakah ia dapat membendung wabak Covid-19 atau kita masih terbuka kepada jangkitan?

Fungsi vaksin Covid-19 ini adalah untuk melindungi diri kita daripada dijangkiti virus itu. Apabila vaksin ini telah membina antibodi badan kita (sistem pertahanan badan terbentuk). Badan kita akan terlindung daripada dijangkiti wabak itu. Akhirnya jika ramai manusia yang tidak dijangkiti, rantaian jangkitan akan putus dan seterusnya kita semua bebas dari wabak.

Sejarah telah pun terbukti hasil daripada program vaksinasi yang diberikan dalam dunia seperti pemberian vaksin Cacar dan Polio dan seperti Malaysia sendiri, dua penyakit itu sudah lama pupus sejak sekian lama.

8. Adakah vaksin ini mempunyai kesan sampingan? Dan adakah ia berbeza-beza kepada setiap individu?

Tidak dinafikan setiap bahan itu mempunyai kesan sampingan. Hatta makanan yang kita makan sekali pun mempunyai kesan sampingan.

Sebagai contohnya adalah makanan laut, setengah daripada kita elergi dengan makanan laut. Begitu juga dengan bahan-bahan yang lain. Begitu juga vaksin Covid-19 ini mempunyai kesan sampingan. Tetapi hasil daripada sains perubatan dan kajian yang dilakukan secara klinikal mendapati bahawa kesan sampingan daripada vaksin ini adalah minima seperti sakit di tempat cucuk, ruam di tempat cucuk, demam sedikit, pening kepala dan sebagainya.

Ia adalah bersifat sementara dan akan sembuh selepas itu. Manfaat paling utama adalah individu yang diberikan vaksin itu mendapat perlindungan daripada dijangkiti oleh Covid-19 yang jauh lebih bahaya.

9. Siapakah golongan yang tidak sesuai menerima suntikan vaksin ini?

Golongan yang tidak sesuai mengambil vaksin Covid-19 adalah yang mempunyai sejarah anafilaksis atau alahan teruk. Mereka dinasihatkan untuk tidak mengambil vaksin ini.

Ini kerana terdapat dalam fasa kajian dan pemberian ke atas beberapa negara kesan sampingan yang berlaku adalah anafilaksis teruk.

Jadi untuk mengelakkan daripada perkara yang sama berlaku ke atas masyarakat negara kita golongan yang mempunyai sejarah alahan teruk ini tidak dibenarkan mengambil vaksin.

Bagi ibu mengandung dan ibu yang menyusukan bayi, perlu mendapat penilaian rekod dan penilaian risiko terlebih dahulu daripada pegawai perubatan di Klinik Kesihatan atau hospital. Doktor akan memberikan khidmat nasihat secara terperinci berkaitan dengan vaksin Covid-19 ini.

10. Bagaimanapun pula mereka yang berisiko seperti warga tua, penghidap penyakit (diabetes, jantung, darah tinggi dan sebagainya), adakah sesuai menerima vaksin ini?

Golongan yang berisiko seperti kencing manis, darah tinggi dan mempunyai penyakit kronik adalah digalakkan untuk mengambil vaksin ini. Mereka akan dijadualkan pemberian vaksin di dalam fasa yang kedua nanti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain