suria

Ebit Lew sayu... boleh dihukum denda RM100,000, penjara 3 tahun jika teruskan misi bantuan di Semporna – “Saya minta maaf”

Ebit sedih kerana tidak dapat meneruskan misi bantuannya di pulau-pulau di Semporna, Sabah. foto facebook Ebit Lew

DALAM keterujaan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Sabah, kesedihan menyelubungi pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew apabila beliau tidak dapat meneruskan misi tersebut di pulau-pulau di Semporna.

Ketika ini, Ebit dalam misi bantuan kemanusiaan selama 10 hari ke berapa kawasan di Negeri di Bawah Bayu.

Selain menyalurkan bantuan makanan dan kemudahan, beliau berjaya membawa satu kampung seramai 157 orang dari suku Bajau Laut di Semporna, memeluk Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ebit mulakan misi 10 hari, salur bantuan di pantai timur Sabah

Pelbagai program yang dirancang Ebit selain mengedarkan tablet, kerusi roda, peralatan perubatan dan keperluan makanan kepada keluarga dan anggota barisan hadapan di kawasan luar bandar.

"Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di Pulau-Pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan.

"Saya tangguhkan niat bina sekolah. Pagi ini saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke Pulau-pulau di Semporna Minta diberhentikan bantuan disekitar sini," menurut luahan Ebit laman Facebook beliau, petang Selasa.



Ebit membantu sejumlah penduduk kampung di Semporna, memeluk Islam.

Ebit mendakwa, beliau dimaklumkan juga bahawa hukuman boleh dikenakan didenda RM100,000 atau penjara selama tiga tahun.

"Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang.

"Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul tujuh guru. Semangat mereka nak mendidik dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf ye ustaz ustazah semua," ujarnya.

Pada pagi Selasa, Ebit memaklumkan mahu menguruskan tiga sekolah di kawasan terbabit.

"Mohon doakan ye. Pagi ini nak uruskan tiga sekolah yang dirancang untuk tiga tempat Bajau Laut Gipsi. Orang tiada negara," katanya menerusi posting berasingan.



Ebit (kiri) mahu membantu penduduk di kawasan setempat dan berikhtiar untuk membina sekolah serta menyediakan guru untuk mengajar mereka.

Dalam pada itu, kata beliau, perkembangan terbaru tersebut turut mengundang kesedihan banyak pihak.

"Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke pulau-pulau. Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah, macam keluarga sendiri.

"Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua," tambah beliau.

Menurut Ebit yang tidak berkecil hati dengan situasi yang berlaku, sambil menambah perjuangannya tetap diteruskan.

"Saya akan terus ke Tawau dan tunggu penerbangan di Tawau. Sempurna sumbangan sedikit tempat di Tawau yang saya janji.

"Terima kasih semua, sehingga berjumpa lagi jika ditakdirkan Allah. Saya serahkan segala urusan kepada Allah. Cukuplah kepada Allah orang mukmin itu berserah," kata beliau.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain