suria

PKP 2.0 dilanjut hingga 18 Februari, rentas negeri masih dilarang

Ismail Sabri mengumumkan mengenai perkembangan PKP 2.0 dalam sidang media, Selasa.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sepatutnya berakhir pada 4 Februari ini, dilanjutkan selama dua minggu bermula 5 Februari sehingga 18 Februari depan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media, petang Selasa.

Beliau berkata, PKP itu dilanjutkan di seluruh negara kecuali Sarawak yang kini dikuat kuasakan PKP Bersyarat (PKPB).

Pengumuman itu dibuat susulan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada Selasa.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan penilaian risiko PKP.20 yang sedang dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung dan Sabah, dan KKM mengesahkan kes harian Covid-19 di kesemua negeri ini masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positiviti dalam kluster adalah antara 20 peratus hingga 40 peratus.

"Selain itu, penularan jangkitan sporadik dalam komuniti juga tinggi yang melibatkan warganegara dan bukan warganegara," katanya.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, PKP 2.0 adalah berbeza dengan PKP kali pertama pernah dilaksanakan tahun lalu di mana pada PKP pertama negara melaksanakan total lockdown.

"PKP 2.0 ini pula, sektor perniagaan dan ekonomi telah dibenarkan beroperasi dengan SOP yang sangat ketat. Perincian sektor-sektor sama ada yang dibenarkan atau tidak dibenarkan beroperasi boleh dirujuk di laman sesawang MKN.

"Pergerakan merentas daerah dan negeri serta aktiviti sosial masih tidak dibenarkan, manakala SOP lain kekal seperti sebelum ini. Setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan data-data daripada KKM," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan akan mengumumkan SOP Tahun Baharu Cina sebelum sambutan perayaan itu pada 12 Februari depan.

"Kita sedang merangka SOP tersebut. KKM bersama Kementerian Perpaduan Negara berserta MKN untuk membincangkan SOP.

"Dan Tahun Baharu Cina termasuk dalam tempoh PKP, jadi saya percaya mereka boleh siapkan dalam waktu terdekat," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain