suria

PKP: Majlis kahwin, tunang dilarang! Sila lapor polis jika ada maklumat langgar SOP

Majlis kahwin dan majlis pertunangan tidak dibenarkan diadakan sepanjang tempoh PKP. -gambar hiasan

MAJLIS keraian seperti majlis perkahwinan dan pertunangan masih tidak dibenarkan diadakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), demikian tegas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya mendapati terdapat mana-mana individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Kalau dilihat perkara yang berlaku melibatkan pelanggaran SOP, saya berharap rakyat membantu kerajaan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Ada kes yang kita terima daripada media sosial, ada video yang dihantar dan diviralkan. Kalau perkara tersebut betul-betul berlaku, ia juga boleh membantu pihak polis untuk mengambil tindakan.

"Oleh itu, individu dalam kalangan rakyat yang tahu berlakunya pelanggaran di mana-mana, mereka boleh melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya pada sidang media, petang Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masih terdapat segelintir pihak yang mengadakan majlis perkahwinan dan pertunangan ketika PKP, malah membuat perkongsian di media sosial.

Tindakan itu menimbulkan kebimbangan yang boleh menyebabkan peningkatan kes Covid-19.

Pada sidang media yang sama, Ismail Sabri berkata, aktiviti sosial dan rentas negeri tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!