suria

5,725 kes... Rekod harian tertinggi Covid-19, 16 lagi korban

Selangor merekodkan kes harian tertinggi dengan 3,126 kes pada Jumaat. FOTO: KK SHAM/The Star.

PENULARAN wabak Covid-19 di negara ini merekodkan 5,725 kes baharu, menjadikan keseluruhan 203,933 kes setakat Jumaat.

Ia sekaligus menjadikan rekod kes harian tertinggi pernah dilaporkan di negara ini.

Daripada 5,725 kes baharu yang telah dilaporkan, 5,268 merupakan kes tempatan manakala selebihnya kes import luar negara.

Selangor merekodkan kes harian tertinggi dengan 3,126 kes diikuti Kuala Lumpur (687), Johor (684) dan Sabah (288).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 16 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 733 kes kematian.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan 16 kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 733 kes," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Sehingga hari ini, 3,423 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 157,722 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 301 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 115 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain