suria

Platform e-Census dibuka semula... 22.7 juta penduduk belum isi Banci Malaysia 2020, Sabah catat respon paling rendah

Dianggarkan seramai 22.7 juta penduduk atau 69.4 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia masih belum mengisi Banci Malaysia 2020.

TATKALA pandemik Covid-19 masih menular, banci kini turut dilakukan secara dalam talian.

Terbaharu, negara kita merekodkan maklumbalas 10 juta penduduk atau 30.4 peratus berbanding anggaran penduduk tahun 2020 dalam Respon Banci Malaysia 2020.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menerusi siaran Facebook pada Jumaat.

"Bagi memastikan semua penduduk Malaysia berpeluang untuk menjawab Banci Malaysia 2020, DOSM telah membuka semula platform e-Census (Banci Dalam Talian).

"Usaha ini juga adalah tanda sokongan kepada tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membendung penularan Covid-19 di kalangan penduduk Malaysia," ujarnya.

Tambahnya lagi, dianggarkan seramai 22.7 juta penduduk atau 69.4 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia masih belum mengisi Banci Malaysia 2020.

Malah, terdapat 320,000 isi rumah yang melibatkan 1.2 juta penduduk telah mendaftar di platform e-Census tetapi masih belum melengkapkan pengisian e-Census sepenuhnya.

Dalam usaha mengurangkan kontak bersemuka, rakyat negara ini diminta memberi kerjasama dengan mengisi segera maklumat banci secara dalam talian melalui www.mycensus.gov.my.

Untuk rekod semasa, empat negeri mencatatkan respons bilangan penduduk tertinggi iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (90.9 peratus), Johor (48.2 peratus), Perlis (45.0 peratus) dan Perak (43.5 peratus).

Manakala yang terendah ialah Sabah (8.9 peratus), W.P. Labuan (17.6 peratus) dan Sarawak (18.9 peratus).

Selebihnya ialah Melaka (38.9 peratus), Pulau Pinang (38.0 peratus), Negeri Sembilan (35.2 peratus), Terengganu (32.5 peratus), Selangor (31.4 peratus), Kuala Lumpur (28.4 peratus), Kelantan (27.3 peratus), Kedah (25.8 peratus) dan Pahang (24.0 peratus).

Daripada dapatan 10 juta penduduk Malaysia yang direkodkan ini, 50.1 peratus ialah perempuan manakala 49.9 peratus ialah lelaki.

Bagi statistik warganegara, etnik Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak (67.1 peratus), diikuti etnik Cina (26.0 peratus), India (6.3 peratus) dan Lain-lain (0.6 peratus), manakala bukan warganegara adalah sebanyak 2.3 peratus.

Statistik kumpulan umur pula menunjukkan 6.3 peratus adalah di kalangan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas, 69.5 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan 24.3 peratus di kalangan umur muda (0 – 14 tahun).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain