suria

Gempar! Dalang sindiket antarabangsa Macau Scam ditahan

Seorang lelaki warga Taiwan yang disyaki dalang sindiket penipuan antarabangsa Macau Scam ditahan.

DALANG sindiket penipuan antarabangsa Macau Scam yang dikehendaki di Taiwan, ditahan di Ampang.

Lelaki warga Taiwan berusia 39 tahun, yang dikenali sebagai Wei Kuo-Chun, ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis antarabangsa (Interpol) di Ampang Putra Residency, kira-kira pukul 10.20 malam Isnin.

Menurut sumber, suspek yang juga dikenali sebagai Jason Wei diburu polis Taiwan sejak 2014.

Sumber mengatakan Wei ditahan bersama seorang lelaki warga Taiwan yang dikenali sebagai Ku Chin Ling, 49.

Polis Taiwan mengenal pasti Chin Ling mengetuai penipuan dalam talian di sana.

"Polis percaya kedua-duanya telah bekerjasama dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pangkalan penipuan antarabangsa mereka," kata sumber kepada The Star.

Menurut sumber, polis Taiwan menerima maklumat bahawa Wei 'menetap' di Kuala Lumpur dan menjalankan Macau Scam yang mensasarkan warga China.

“Mereka meminta bantuan polis Malaysia.

"Bukit Aman menjalankan operasi bersama Interpol untuk menahan mereka," kata sumber itu, sambil menambah dua lelaki warga Taiwan lain yang berada di premis turut ditahan.

Difahamkan, isteri Wei merupakan peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) sementara dia adalah pemegang visa bergantung MM2H.

"Isterinya berada di Taiwan," kata sumber-sumber itu, dan menambah bahawa Wei memiliki kewarganegaraan Republik Guinea-Bissau berikutan pelaburannya di sana.

Difahamkan, Wei sebelum ini pernah menjadi sindiket penipuan Macau Scam di Filipina pada 2014 dan di Montenegro pada 2019.

Menurut sumber, Wei, Chin Ling dan dua lelaki warga Taiwan yang ditahan itu akan disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sebelum mereka diserahkan kepada polis Taiwan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan penangkapan itu.

"Kita bekerjasama dengan Interpol dan polis Taiwan dalam operasi yang berjaya ini," katanya. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain