suria

PKP: Kekang penularan Covid-19, majlis akad nikah dilaksana secara sidang video di Selangor

Majlis akad nikah di Selangor dilaksana secara sidang video bagi mengekang penularan virus Covid-19. Gambar hiasan

MAJLIS akad nikah di Selangor dilaksanakan secara sidang video di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 13 Januari lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, inisiatif tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pengantin dan individu yang terlibat pada majlis terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Kini giliran Selangor benarkan nikah online

"Melalui kaedah sidang video, Pendaftar Perkahwinan yang berada di PAID menyaksikan lafaz ijab dan qabul oleh wali dan pengantin lelaki yang berada di rumah bersama pengantin perempuan dan dua orang saksi.

"Pelaksanaan majlis akad nikah ini hanya kepada pasangan yang telah mendapat Kebenaran Berkahwin serta ada tarikh bernikah dari PAID secara temu janji.

"Sehingga kini, sebanyak 442 pasang pengantin dinikahkan di PAID secara sidang video sejak PKP dikuatkuasakan," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Shahzihan berkata, Jais telah memperluas pelaksanaan majlis akad nikah kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP) yang bertugas di semua Masjid Pengurusan dan semua PPP dibenarkan melaksanakan pernikahan secara sidang video untuk melancarkan urusan pernikahan pasangan yang bakal berkahwin mulai 4 Februari 2021.

Oleh itu katanya, perkhidmatan kaunter secara temu janji juga telah dibuka bagi urusan tertentu di PAID sejak Isnin.

"Sebagai permulaan, sebanyak 25 urusan temu janji ditetapkan setiap hari bagi perkhidmatan kaunter yang dibuka dari jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari.

"Kemudian, sebanyak 900 slot temu janji meliputi semua PAID telah penuh sehingga 29 Januari 2021.

"Slot temu janji yang dibuka ini juga akan diperbanyakkan dari masa ke masa seperti arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan permintaan pelanggan," katanya. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain