suria

Buka tadika swasta di lokasi PKP, menteri jawab dilema ‘takut nak hantar anak’ - “Terserah ibu bapa buat keputusan”

Sekumpulan guru tadika membuat persiapan bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP). -gambar hiasan/ foto NUR AISYAH MAZALAN/The Star

TADIKA swasta di kawasan yang dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan dibuka atas konteks keperluan.

Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, PKP yang dikuatkuasakan pada kali ini adalah berbeza dengan PKP pada Mac tahun lalu yang lebih ketat, di mana sektor-sektor ekonomi tidak dibuka.

Namun bagi PKP kali ini, katanya, terdapat sektor ekonomi yang dibuka menyebabkan tadika-tadika di kawasan dibenarkan dibuka.

"Berkaitan dengan kerunsingan ibu bapa, kita serahkan keputusan ibu bapa berkaitan dengan kesihatan dan sebagainya. Tapi dalam konteks keperluan maka tadika swasta dibenarkan dibuka.

"Ada permohonan daripada ibu bapa yang bekerja supaya dalam PKP ini tidak seketat seperti dahulu, maka ibu bapa memohon supaya diteruskan tadika ini bagi membolehkan mereka yang perlu bekerja dapat menghantar anak-anak mereka ke tadika swasta," katanya pada sidang media, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perdebatan segelintir ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka di tadika swasta di kawasan PKP berikutan peningkatan kes Covid-19.

Dalam pada itu, Radzi turut menggesa semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berhubung pembukaan tadika swasta.

"Kita akan pantau bagi memastikan semua pihak mengikuti dan memenuhi SOP yang telah ditetapkan," tambah beliau.

Radzi sebelum itu berkata, semua tadika swasta di kawasan PKP yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh terus beroperasi secara bersemuka.

Mengenai tadika kerajaan, Radzi berkata, pengoperasian tersebut mengikut sekolah di lokasi PKP di mana sesi persekolahan di secara bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri bermula 13 Januari hingga 26 Januari ini.

Enam negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain