suria

Nazri Aziz tarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai PM

Nazri Aziz membuat kejutan dengan menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri.

AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan beliau menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, keputusan itu berdasarkan mandat daripada Umno Padang Rengas.

"Oleh itu, saya ingin mengumumkan bahawa saya sebagai ketua bahagian Padang Rengas dan Ahli Parlimen Padang Rengas menarik sokongan saya terhadap Muhyiddin untuk membentuk kerajaan sekarang," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Selasa.

Pada Sabtu lalu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub merupakan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) pertama yang menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional dan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Nazri berkata, beliau membuat keputusan itu setelah berfikir panjang dan percaya ia dibuat demi kepentingan parti.

"Dengan pengumuman saya, ini bermakna Muhyiddin mendapat sokongan daripada 109 ahli Parlimen," katanya, dengan meramalkan lebih ramai ahli Parlimen Umno akan membuat pengumuman seumpamanya dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu, Nazri turut menjelaskan bahawa pengumumannya itu tidak bermaksud beliau menggesa agar pilihan raya umum segera diadakan.

"Kita hanya ingin memberitahu bahawa kerajaan ini mempunyai 109 ahli Parlimen," katanya. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain