suria

Benarkan MP jalani HSO hadir ke Parlimen, keputusan selari SOP KKM - Speaker

Azhar menjelaskan SOP yang perlu dipatuhi oleh ahli Parlimen yang menjalani HSO, untuk hadir ke Parlimen.

KEPUTUSAN membenarkan ahli Parlimen yang diperintahkan Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), untuk hadir ke Parlimen bagi pengundian Belanjawan 2021, merupakan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Parlimen pada Isnin.

"Saya tidak mengubah SOP. Saya hanya mengikuti SOP oleh Kementerian Kesihatan dan Dr Noor Hisham," kata Azhar di Parlimen pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang membangkitkan isu kehadiran Ahli Parlimen yang sedang menjalani HSO ke Dewan Rakyat.

Azhar berkata, terdapat aduan daripada ahli Parlimen yang tidak diberi banyak peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai Belanjawan 2021 di Parlimen.

"Jadi untuk pengundian, semua ahli Parlimen dibenarkan hadir," tambah beliau.

Azhar turut memberitahu bahawa ahli Parlimen yang menjalani HSO perlu mendapat kebenaran daripada Dr Noor Hisham, untuk mereka hadir di Parlimen bagi proses pengundian.

"Jika mereka dibenarkan untuk hadir, mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Dr Noor Hisham, bukan saya."

Azhar berkata, beliau difahamkan terdapat tiga ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Dr Adham Baba (BN-Tenggara), Datuk Seri M. Saravanan (BN-Tapah) dan P. Prabakaran (PH-Batu) meminta untuk hadir di Parlimen.

Beliau berkata, ketiga-tiga ahli Parlimen itu perlu memakai alat pelindung diri (PPE) dan mereka akan dibawa ke Parlimen dengan menaiki ambulans.

Tambah Azhar, ketiga-tiga mereka juga akan ditempatkan di bilik khas sebelum proses pengundian bermula.

"Sekiranya mereka mahu mengundi, mereka perlu memakai PPE yang baharu dan masuk melalui pintu galeri awam. Undian mereka akan diambil dan penghitung undi perlu memakai pelindung muka.

"Setelah mengundi, mereka kemudian akan meninggalkan kawasan awam kerana kita mahu mengehadkan pendedahan mereka dengan orang lain (di Parlimen)," kata Azhar.

Dalam pada itu, beliau berkata, kelonggaran kepada ahli Parlimen yang dikenakan HSO untuk hadir mengundi di Dewan Rakyat tidak sepatutnya dipolitikkan. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain