suria

“Pembalakan memusnahkan tanah kami” - Orang Asli

Gambar diambil oleh Orang Asli di Kampung Ong Jangking menunjukkan kesan pembalakan kepada alam sekitar. Foto: Johari Aluej dan Said Jali.

SIASATAN yang dijalankan sekumpulan wartawan awam Orang Asli membuktikan bahawa aktiviti pembalakan yang tidak terkawal telah memusnahkan sungai-sungai di kawasan berhampiran penempatan Orang Asli di Kampung Ong Jangking dan Sungai Papan di Gerik, Perak.

Semakan di Jabatan Perhutanan Perak menunjukkan bahawa syarikat pembalakan yang terlibat mempunyai lesen dan kerja-kerja pembalakan yang dijalankan telah mendapat kebenaran.

Bagaimanapun, gambar, video serta bukti geospatial yang dikumpul oleh Orang Asli menunjukkan bahawa syarikat pembalakan terbabit telah melanggar beberapa peraturan.

PETA INTERAKTIF: Orang Asli memetakan kemusnahan yang disebabkan oleh aktiviti pembalakan.

"Melihat kepada gambar-gambar ini, saya rasa laluan yang dibina (bagi tujuan pembalakan) tidak mengikut panduan yang ditetapkan.

"Jika panduan diikuti, hakisan masih akan tetap berlaku, tapi tidaklah seteruk ini. Ini berada pada tahap kritikal (hakisan)," ujar Prof Gs Mohd Hasmadi Ismail, apabila ditunjukkan bukti-bukti tersebut.

Mohd Hasmadi mengajar mengenai cara pembalakan hutan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan beliau telah menghasikan beberapa kertas kajian mengenai kesan laluan yang dibina bagi tujuan pembalakan di Semenanjung Malaysia.

Melalui gambar-gambar tersebut, beliau menerangkan mengenai bagaimana sungai-sungai berhampiran tercemar apabila hakisan tanah dan serpihan dari jalan yang dibina berhampiran sumber air itu tidak dibuang dengan betul.

Tambah beliau, keadaan jalan raya yang teruk itu turut mendatangkan bahaya kepada pekerja.

Panduan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan menetapkan supaya jalan bagi aktiviti pembalakan perlu dibina 10 meter dari sumber air, termasuk sungai.



Aktiviti pembalakan yang tidak terkawal telah memusnahkan sungai-sungai di kawasan berhampiran penempatan Orang Asli. Foto: Johari Aluej dan Said Jali.

Jambatan pula perlu dibina bagi memastikan arus sungai tidak terhalang dan bagi tujuan mengurangkan aliran air deras ke dalam sungai. Terdapat juga panduan bagi mengurangkan darjah ketinggian cerun yang dibina sewaktu pembinaan jalan.

Pengarah syarikat pembalakan tersebut telah dihubungi berkali-kali, dan ditunjukkan beberapa gambar namun beliau enggan memberi maklum balas.

Jabatan Perhutanan Perak meminta tempoh seminggu untuk menyiasat dakwaan ini yang mana gambar-gambar tersebut juga telah ditunjukkan pada 1 Disember lalu.

Maklum balas yang kami terima pada 8 Disember mengesahkan berlaku beberapa perlanggaran peraturan melibatkan pembinaan jalan dan jambatan, dan syarikat pembalakan tersebut didakwa bakal dikenakan kompaun bagi setiap kesalahan.

Bagaimanapun, bagi Orang Asli di kawasan terbabit aktiviti pembalakan tersebut telah pun meninggalkan kesan kepada alam sekitar serta menjejaskan kehidupan harian mereka.

"Sungai dah tak betul, dan hutan dah tak sihat lagi," kata salah seorang ketua komuniti di Kampung Ong Jangking, Anjang Aluej.

"Sungai Ong Laba sering digunakan untuk menangkap ikan, katak dan kura-kura, sekarang air dah jadi keruh dan berlumpur, dan cuma ada ikan kecil yang tinggal.

"Bila hari hujan, air sungai mengalir deras ke hilir sungai dan ini sangat berbahaya sebab di situlah kami biasanya melintas untuk ke bandar," tambahnya lagi.

Sungai dah tak betul, dan hutan dah tak sihat lagi.

ANJANG ALUEJ

KETUA KOMUNITI KAMPUNG ONG JANGKING

Gambar-gambar daripada komuniti menunjukkan kesan mendapan yang kritikal di hilir sungai Ong Laba, akibat aktiviti pembalakan.

Terdapat juga gambar-gambar yang menunjukkan sungai melimpah apabila hari hujan dan mengalir ke kawasan berhampiran Kampung Ong Jangking.

Mohd Hasmadi berpendapat, ini mungkin disebabkan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di hulu sungai.

"Sedimen dari hulu sungai berkumpul di hilir dan menyebabkan sungai menjadi cetek. Apabila hujan, paras air sungai meningkat dengan pantas," katanya.

Wakil dari Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang tertua di Malaysia berkata kesan yang dilihat merupakan pemandangan biasa yang sering dilihat di kawasan pembalakan.

"Hutan ini jauh dari pandangan masyarakat, hanya mereka yang terlibat di lapangan boleh melihat (apabila undang-undang dilanggar).

"Jika ranger hutan (yang bertugas memantau sesuatu kawasan pembalakan) tegas, maka undang-undang akan dituruti. Tapi kalau ranger tidak tegas, di sini mungkin berlaku situasi seperti jenayah rasuah," katanya.



Mohd Hasmadi Ismail (kanan) melihat bukti-bukti yang dikumpul Orang Asli.. Bukti-bukti ini menunjukkan bahawa aktiviti pembalakan di tanah pusaka nenek moyang mereka telah menjejaskan alam sekitar, terutama sekali sungai. Foto: Shanjeev Reddy

Selain kesan kepada alam sekitar, penduduk Orang Asli turut mendakwa bahawa syarikat pembalakan telah masuk sehingga ke kawasan milik nenek moyang mereka.

Tuntutan bahawa Kampung Ong Jangking dan Sungai Papan bahawa kawasan sekitar tempat tinggal mereka merupakan tanah pusaka Orang Asli juga telah dibuat.

Buat masa ini, kawasan tersebut termasuk dalam sebahagian daripada kawasan Rizab Hutan Simpan Air Chepam dan tanah perladangan milik Felda, namun Orang Asli di kawasan terbabit telah mengambil tindakan perundangan bagi menuntut hak mereka di mahkamah.

Berdasarkan undang-undang am dan Perlembagaan Persekutuan, mahkamah terdahulu telah memutuskan bahawa Orang Asli mempunyai hak milik ke atas tanah pusaka nenek moyang/ adat mereka.

Semakan dengan Jabatan Perhutanan menunjukkan bahawa kawasan yang telah diberikan kepada syarikat pembalakan terletak di luar dari kawasan yang dituntut penduduk Orang Asli sebagai tanah pusaka namun kawasan utama yang digunakan untuk mengumpul balak yang telah ditebang, terletak kira-kira 300 meter dari rumah di Kampung Sungai Papan.

Jalan yang dibina bagi aktiviti pembalakan yang menuju ke kawasan pengumpulan balak pula terletak kira-kira satu kilometer dari Kampung Ong Jangking dan memberi kesan kepada hulu sungai di kampung terbabit.

"70% daripada kerosakan pada alam sekitar adalah disebabkan oleh aktiviti pembalakan yang berpunca dari jalan yang dibina - baik ketika dibina, dan penggunaan jalan terbabit oleh jentera berat.

"Jalan pembalakan tidak memberi kesan kepada masyarakat tapi memberi kesan kepada hulu sungai, mendapan yang mengalir ke hilir, di situ masyarakat akan terjejas.

"Sebab itu pemantauan (aktiviti pembalakan) penting, kerana banyak syarikat pembalakan mengambil jalan mudah, dan mereka menebang pokok tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar," katanya.

Piawaian Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) menetapkan agar syarikat pembalakan mendapatkan persetujuan masyarakat setempat yang akan terjejas dengan aktiviti pembalakan sebelum penerokaan bermula.

Balak yang diambil dari hutan di Perak mendapat pensijilan daripada MTCC, oleh itu semua aktiviti pembalakan di negeri terbabit perlulah mengikut standard ditetapkan oleh MTCC.

Orang Asli di Kampung Ong Jangking dan Sungai Papan mendakwa bahawa mereka tidak memberi persetujuan ke atas aktiviti pembalakan dan mereka ada bukti-bukti bantahan yang telah dilakukan sejak 2018.

Mereka menunjukkan surat bertarikh 13 November 2018 yang dihantar kepada MTCC, mengenai bantahan penduduk Orang Asli di kawasan terbabit terhadap 'pencerobohan bagi aktiviti pembalakan dalam kawasan tanah pusaka Orang Asli'.

Pada Julai 2019, kampung-kampung terbabit telah membina penghadang bagi membantah aktiviti pembalakan, dan ini telah mengakibatkan beberapa Orang Asli telah ditahan pihak berkuasa.

Campur tangan daripada bekas Menteri di Pejabat Perdana Menteri P. Watha Moorthy membawa kepada pembebasan mereka, dan aktiviti pembalakan di kawasan terbabit telah dihentikan.

Walaupun mendapat bantahan Orang Asli, sijil MTCC bagi negeri Perak tetap diperbaharui pada 11 Julai 2019 setelah audit dijalankan bermula 18 hingga 23 Februari.

Pada Julai 2020, sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan ditarik balik, penduduk Orang Asli mendakwa aktiviti pembalakan telah dimulakan semula dan diteruskan sehingga ke hari ini.

Menurut peguam sukarela yang mewakili Orang Asli, pihak berkuasa dan syarikat pembalakan telah diberitahu mengenai tuntutan Orang Asli terhadap tanah pusaka dan hasrat mereka untuk mengesahkan tuntutan terbabit di mahkamah.

Orang Asli juga seringkali membina penghadang di laluan pembalakan namun ia seringkali dimusnahkan oleh syarikat pembalakan.

Disebabkan aktiviti pembalakan yang berterusan, masyarakat Orang Asli telah membuat keputusan untuk membuat bantahan secara terbuka.

"Kami yang terpaksa hidup dengan kesan daripada pembalakan.

"Jika orang diluar sana tidak diberitahu mengenai isu ini, pembalak akan terus-terusan (melanggar undang-undang)," kata Anjang.

*Laporan oleh Anjang Aluej, Johari Aluej, Ramli Aluej, Said Jali, Zainal Alang dan Zulkifli Apoq. Siasatan oleh R.AGE, dengan sokongan dari Bertha Foundation.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain