suria

Terpalit kontroversi, Jakim mahu bertemu pendakwah selebriti

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata pertemuan itu dijangka diadakan hujung bulan ini.

ISU membabitkan pendakwah selebriti yang terpalit dengan kontroversi sejak kebelakangan ini menjadi antara topik utama yang hangat diperkatakan di media sosial.

Rata-rata masyarakat memberikan tafsiran yang pelbagai lantaran golongan ini dikenali sebagai pendakwah.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil sekumpulan pendakwah selebriti pada hujung bulan ini untuk mendapatkan pelbagai input berkenaan medium dakwah yang disampaikan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 13 hari di lokap, Da’i Syed terpaksa bermalam di pusat tahanan... Ikat jamin RM35,000 tak sempat nak bayar

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, pertemuan itu penting terutamanya dalam langkah menjaga nama baik pendakwah-pendakwah berkenaan selain nama baik agama Islam.

"Pada hujung bulan ini, Jakim akan panggil kumpulan pendakwah selebriti untuk dikumpulkan dalam satu majlis.

"Mereka akan disampaikan mesej daripada kerajaan untuk mengharmonikan dan menjaga nama baik pendakwah serta agama Islam," katanya dipetik Sinar Harian.

Menyentuh mengenai beberapa isu melibatkan golongan pendakwah yang dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial dan salah laku sejak kebelakangan ini, Ahmad Marzuk berkata, ia tidak sepatutnya berlaku.

Antaranya, isu membabitkan peserta program realiti TV, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau Da'i Syed yang didakwa atas tuduhan merogol dan mencabul ketika ini.

Tambahnya, walaupun kes seperti itu agak terpencil, namun ia tetap membawa pandangan tidak baik terhadap kumpulan pendakwah dan agamawan.

Da'i Syed ketika ini berdepan dengan tiga pertuduhan membabitkan jenayah seksual iaitu melakukan persetubuhan luar tabii, rogol dan cabul.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan berkenaan.

Mahkamah menetapkan tarikh 19 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain