suria

Mindset di takuk lama! Selesa cara lama punca PKS enggan beralih ke era digitalisasi... Ayuh berubah!

Industri jentera dan peralatan (M&E) kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana.

SEMUA sektor industri di negara ini perlu melakukan perubahan seiring transformasi era digital, sekaligus dapat kekal berdaya saing

Begitu juga dengan industri jentera dan peralatan (M&E) yang kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai masih tak tahu... Productivity1010 solusi era digital, MPC atur strategi ajak komuniti niaga teroka peluang mega

Namun begitu, kebanyakan PKS di negara ini masih lagi cenderung dengan cara konvensional atau cara lama yang dipraktikkan generasi terdahulu.

Mereka dilihat enggan melakukan perubahan dan memanfaatkan teknologi untuk melangkah ke era digitalisasi, dan perkara ini sebenarnya memberi impak yang besar bukan sahaja kepada syarikat tersebut semata-mata, malah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).



Menurut Penasihat, Gabungan Pengusaha Mesin dan Industri-industri Kejuruteraan (MEIF), Yoong Kee Sin, perkara itu berlaku disebabkan pemahaman berbeza mengenai apa itu digitalisasi.

"Sejak dua tahun lalu apabila Produktiviti Nexus Jentera dan Peralatan (MEPN) 'engage' dengan industri untuk melihat apa yang sedang mereka lalui dan perubahan yang mereka perlukan, sudah tentu digitalisasi dan Industri 4.0 adalah sebahagian daripada perkara yang utama.

"Apa yang kami buat adalah turun padang dan cuba dapatkan maklum balas mereka. Dan apa yang kami temui adalah perkara yang lazim iaitu masih banyak yang tak diketahui, kerana mereka ada pandangan yang berbeza mengenai apa itu digitalisasi dan apa itu Industri 4.0.

"Oleh kerana terdapat perbezaan pandangan mengenai digitalisasi, mereka agak takut untuk terlibat," katanya.

Menurut Yoong lagi, ramai pengusaha yang masih 'kabur' mengenai apa sebenarnya manfaat digitalisasi kepada perniagaan mereka.

"Apa yang digitalisasi dapat bantu adalah dengan mengumpulkan data dan ia boleh membantu anda dalam membuat keputusan dan seterusnya mengambil tindakan proaktif.

"Sebelum mesin rosak, sebelum menghadapi masalah di bahagian operasi anda sebenarnya mendapat simptom awal. Ia seperti pergi bertemu doktor," jelasnya.



(Kiri ke kanan) Setiausaha Agung MEIF, N Sangaran; Penasihat MEIF, Yoong Kee Sin; dan Penasihat MEIF Mimi Aminah Mohd Taib.

Justeru ujar Yoong, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melancarkan Productivity 1010, satu inisiatif yang diperkenalkan MEPN dalam usaha membantu syarikat untuk membangunkan pelan tindakan digitalisasi individu.

Untuk rekod, MEPN dengan sokongan penuh MPC telah melancarkan Productivity1010 pada 29 Ogos lalu.

"Dan apa yang akan kami lakukan di bawah MEPN adalah memanfaatkannya dan berusaha menjangkau industri dan menjadikannya lebih mudah bagi PKS.

"Dalam usaha untuk melaksanakan digitalisasi dan menambahbaik, anda perlu melalui proses ke arah matlamat itu.

"Untuk meningkatkan produktiviti, tidak semestinya hanya mengurangkan kos tenaga kerja, namun apa yang penting anda dapat meminimumkan usaha yang sia-sia atau pembaziran dalam pengeluaran kerana wang sudah banyak dilaburkan.

"Persoalannya ialah, adakah kita mendapat pulangan yang baik dari pelaburan tersebut atau tidak. Kami percaya bahawa ia boleh diperbaiki," kata Yoong lagi.



Industri jentera dan peralatan yang terdiri daripada perusahaan PKS perlu berubah kea rah digitalisasi agar mampu bersaing di peringkat global.

Sementara itu Setiausaha Agung MEIF, N Sangaran berkata antara masalah yang menghalang PKS untuk mara adalah tiada perancangan strategik untuk masa hadapan.

"Kebanyakan syarikat multinasional akan merancang untuk jangka masa tujuh tahun atau sepuluh tahun... syarikat medium yang lebih besar pula mereka akan merancang sekitar empat, lima tahun tetapi apabila menyentuh mengenai PKS, perancangan mereka adalah sekitar satu tahun atau sehingga tahun depan.

"Jadi ini adalah masalah yang kita hadapi dalam Nexus (MEPN). Oleh itu, kami telah menganjurkan beberapa siri bengkel dan menganalisa isu serta cabaran industri di samping merangka 14 projek untuk membantu sektor jentera dan peralatan ini," ujarnya.

Kesemua 14 projek tersebut dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu bakat dan tenaga kerja, produktiviti dan kecekapan, pemerkasaan dan pembangunan, serta ekosistem (polisi dan prosedur).

Selain itu, antara masalah utama yang membelenggu perusahaan PKS adalah cara fikir atau mindset masing-masing yang masih selesa dengan takuk lama yang lebih mengutamakan keuntungan jangka pendek daripada mengutamakan pertumbuhan produktiviti.



Industri jentera dan peralatan menyumbang lebih RM40 bilion setiap tahun dalam pasaran eksport negara.

Pertumbuhan produktiviti lebih tertumpu kepada prestasi jangka panjang bagi memastikan PKS sentiasa tumbuh dengan manpan dan berdaya saing di peringkat global.

Menurut Penasihat MEIF, Mimi Aminah Mohd Taib, industri jentera dan peralatan menyumbang lebih RM40 bilion setiap tahun dalam pasaran eksport negara.

"Melabur dalam teknologi atau kaedah baharu untuk menjalankan perniagaan bukan merupakan satu kemestian kerana bagi mereka ia memerlukan modal yang besar. Maka mereka masih selesa dengan cara yang lama. Walaubagaimanapun dunia berubah, teknologi membantu meningkatkan kecekapan sumber. Kalau mereka tidak mengikut perubahan, mereka akan ketinggalan.

"Oleh itu, kami berperanan untuk mendorong pemain industri jentera dan peralatan untuk terus berinovasi dan kekal relevan.

"Kami amat berharap agar sektor jentera dan peralatan ini terus produktif dan berkembang maju. Seterusnya dapat membantu meningkatkan sumbangan yang lebih tinggi kepada KDNK dan eksport negara," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PKS, takuk lama, digitalisasi, MPC, MEIF, MEPN

Artikel Berikut

Harga petrol, diesel naik 3 sen

Artikel Lain