suria

Empat lagi korban di Sabah, Malaysia rekod 660 kes baharu Covid-19... pesakit di ICU cecah 3 angka

Malaysia merekodkan 660 kes baharu positif Covid-19 pada Selasa. Foto: Bernama

PENULARAN wabak Covid-19 di negara ini merekodkan 660 kes baharu, menjadikan keseluruhan 16,880 kes setakat Selasa.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 5,345 kes di mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Daripada 660 kes baharu yang telah dilaporkan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Daripada 658 kes penularan tempatan, 618 adalah melibatkan warganegara dan 40 adalah rakyat asing.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Sabah catat 2 lagi kematian, 563 kes baharu direkodkan... 98 dirawat di ICU

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, empat kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 163.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan empat kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 163 kes," ujarnya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada petang Selasa.

Sehingga hari ini, 350 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 11,372 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 101 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan terdapat enam kluster baharu dikesan hari ini.

Berikut perincian empat kes kematian pada Selasa:

1) Kes-160 melibatkan wanita berusia 84 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan dislipidemia. Pesakit meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

2) Kes-161 melibatkan lelaki berusia 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan dislipidemia. Pesakit meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

3) Kes-162 melibatkan wanita berusia 36 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit tuberkulosis yang masih dalam rawatan. Pesakit meninggal dunia di Hospital Semporna.

4) Kes-163 melibatkan lelaki berusia 59 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang kronik. Pesakit meninggal dunia di Hospital Tawau.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, Sabah

Artikel Lain