suria

Sesi menghadap Agong oleh Mat Sabu, Guan Eng ditangguhkan

Kedua-dua sesi menghadap Agong yang dijadualkan untuk Guan Eng dan Mat Sabu telah ditangguhkan. Foto: Bernama

PERJUMPAAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah ditangguhkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan menerusi satu kenyataan bersama pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Beri ruang Tuanku jalankan tanggungjawab dan menelaah dokumen” - Anwar persembah bukti sokongan 120 MP pada Agong

"Kami telah dititah untuk mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara pada hari Rabu, 14 Oktober 2020 untuk YB Lim Guan Eng dan pada hari Rabu, 21 Oktober 2020 untuk YB Haji Mohamad Bin Sabu.

"Namun, semalam Setiausaha Sulit Kanan Baginda telah memaklumkan kepada kami bahawa kedua-dua sesi menghadap Tuanku telah ditangguhkan.

"Kami menjunjung titah dan mendoakan agar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan," kata mereka.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa

berkata, beliau difahamkan bahawa Agong akan berjumpa dengan semua ketua-ketua parti politik yang berkaitan bagi mengesahkan dakwaan beliau ada sokongan lebih 120 Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa (semi-lockdown).

Ia adalah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain