suria

“Beri ruang Tuanku jalankan tanggungjawab dan menelaah dokumen” - Anwar persembah bukti sokongan 120 MP pada Agong

Anwar ketika mengadakan sidang media, petang Selasa.

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dia sudah mempersembahkan dokumen sahih majoriti kukuh ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah pada Selasa.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson ini, kini tiba masanya untuk dia memberi ruang kepada baginda bagi meneliti dokumen berkenaan sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar akan buat ‘satu pengumuman penting’ jam 2 petang

"Saya telah tunaikan hari ini untuk mempersembahkan dokumen sahih majoriti kukuh dan meyakinkan, ahli-ahli Parlimen yang menyokong saya.

"Saya memohon semua pihak beri ruang kepada Tuanku jalankan tanggungjawab untuk melunaskan Perlembagaan dan juga budi bicara Tuanku bagi menelaah dokumen tersebut.

"Dalam masa sehari atau dua hari, Tuanku akan memanggil ketua-ketua parti untuk mengesahkan dan mendapat input serta pandangan sebaiknya.

"Hari ini bukan soal kemenangan sesiapa atau kekalahan sesiapa, tapi untuk kita tegakkan satu negara yang maju dan adil," katanya.

Dalam sidang media itu yang dibuat di sebuah hotel di ibu negara, Anwar turut mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh selepas dirinya memperoleh sokongan majoriti.

Dakwa Anwar lagi, dia tidak boleh memaklumkan jumlah sokongan diterima namun mengakui ia melebihi 120 ahli Parlimen.

Kenyataan itu sama seperti apa yang diperkatakan Anwar sebelum ini bahawa dia mempunyai lebih 120 sokongan daripada ahli Parlimen yang membolehkan dirinya untuk menjadi perdana menteri.

Beberapa sumber parti bagaimanapun mendakwa tidak tahu mengenai jumlah sokongan yang diperolehi Anwar dan hanya presiden PKR itu sahaja yang tahu mengenai perkara itu.

Namun, pengkritik mempertikaikan kenyataan Anwar apabila PAS, Barisan Nasional, Parti Bersatu Sabah dan juga parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad, Pejuang, menyatakan semua ahli Parlimen mereka menolak menyokong Anwar sebagai perdana menteri menteri.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain