suria

SOP lama di penjara antara punca kenaikan mendadak kes Covid-19 - Ismail Sabri

Ismail Sabri mengumumkan empat daerah dikenakan PKPB iaitu Sandakan, Papar, Tuaran (Sabah) dan Klang (Selangor). - Gambar fail

PROSEDUR operasi standard (SOP) yang lama di penjara adalah antara punca peningkatan jangkitan Covid-19 di dalam pusat tahanan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, daripada 691 kes positif Covid-19 yang dilaporkan pada Selasa, sebanyak 394 kes di Kedah adalah kes dalam penjara dan tujuh lagi dalam tempat tahanan perlindungan di Taiping, Perak.

"Maknanya 401 kes daripada 691 kes itu adalah kes di dalam penjara yang telahpun terkurung, terkepung dan tiada hubungan dengan masyarakat di luar.

"Oleh kerana banyak kes melibatkan penjara maka mesyuarat hari ini bersetuju untuk meminta Jabatan Penjara membentangkan SOP-SOP baharu mereka.

"SOP-SOP lama tidak lagi boleh digunakan pakai," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), petang Rabu.

Sebagai contoh, Ismail Sabri berkata, kakitangan penjara perlu membawa tahanan secara fizikal ke mahkamah untuk pendakwaan.

"Tahanan mesti dipakaikan gari dan duduk berdekatan, ini SOP lama.

"Begitu juga di dalam penjara, kedudukan yang agak rapat. Juga apabila tahanan itu dipindahkan ke penjara lain, semuanya mengunakan SOP lama.

"SOP lama merupakan salah satu punca menyebabkan pertambahan kes positif Covid-19 di dalam penjara. Perkara-perkara ini boleh dielakkan dengan SOP-SOP baharu diperkenalkan," katanya.

Beliau sambil berharap kes positif di dalam penjara dapat dikurangkan, sekali gus dapat mengatasi situasi panik dalam kalangan rakyat berikutan peningkatan mendadak kes harian Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sandakan, Papar, Tuaran (Sabah) dan Klang di Selangor berkuat kuasa 12.01 tengah malam 9 Oktober 2020.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPB di empat daerah disebabkan peningkatan kes Covid-19 yang bertujuan untuk membendung jangkitan dan penularan wabak di kawasan tersebut dan membolehkan pengesanan kes secara bersasar.

"Pergerakan keluar dan masuk ke kawasan itu tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan perlu (essential) dan mendapat kebenaran pihak berkuasa," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain