suria

Pejabat Perdana Menteri nafi Muhyiddin ingkar arahan KKM, tak pakai gelang pengawasan kerana jalani kuarantin kendiri

Pejabat Perdana Menteri menafikan Muhyiddin melanggar arahan KKM.

ISU kuarantin sememangnya hangat diperkatakan ketika ini susulan peningkatan ketara kes positif Covid-19 sejak beberapa hari lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut tidak terkecuali menjadi sasaran segelintir pihak kerana didakwa melanggar arahan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia berikutan beliau dilihat tidak memakai gelang pengawasan Covid-19 sebagaimana individu lain yang menjalani kuarantin.

ARTIKEL BERKAITAN: Perdana Menteri jalani kuarantin kendiri 14 hari

Menjelaskan mengenai dakwaan tersebut, Pejabat Perdana Menteri pada Rabu menafikan Muhyiddin ingkar dengan arahan KKM.

Menerusi satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Perdana Menteri tidak dipakaikan gelang pengawasan Covid-19 oleh KKM kerana beliau menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri menggunakan 'home assessment tool' (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

"Berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh pegawai KKM pada 5 Oktober lalu, Perdana Menteri dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari selama 14 hari, menggunakan peralatan penilaian di rumah (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

"Sehubungan itu, beliau tidak dikehendaki oleh KKM untuk memakai gelang pengawasan. Justeru, dakwaan bahawa Perdana Menteri melanggar arahan KKM adalah tidak benar," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut keputusan ujian pengesanan Covid-19 yang dilakukan ke atas beliau Isnin lalu, disahkan negatif pada keesokannya.

Muhyiddin sebelum ini turut melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu, iaitu pada 22,26 dan 29 September di mana kesemuanya didapati negatif.

"Bagaimanapun, Perdana Menteri dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami gejala ketika dalam tempoh pemantauan terbabit.

"Setakat ini, keadaan kesihatan Perdana Menteri adalah baik. Walaupun begitu, beliau akan terus melakukan kuarantin kendiri hingga selesai tempoh 14 hari yang ditetapkan KKM," katanya.

Muhyiddin menjalani kuarantin kendiri berikutan beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Sabtu lalu.

Zulkifli telah disahkan positif jangkitan Covid-19 pada Isnin dan menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain