suria

Jangan mudah tuding jari! Kerajaan sedia terima pandangan, teguran... minta rakyat tak peduli pihak sengaja politikkan masalah Covid-19

Perdana menteri berkata kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan orang ramai. - foto Bernama

KERAJAAN sentiasa terbuka untuk menerima pandangan orang ramai dalam usaha memperbaiki usaha-usaha menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan juga bersedia menerima teguran daripada rakyat, malah pandangan yang baik akan dibincangkan di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin akui kempen PRN Sabah antara punca kes Covid-19 naik mendadak, pilihan raya “sesuatu yang tidak dapat dielakkan” selepas DUN bubar

"Saya tahu ramai di luar sana yang ingin memberikan pandangan kepada kerajaan mengenai pengurusan Covid-19 kerana anda semua prihatin. Ada yang menghantar mesej secara peribadi kepada saya. Ada juga yang membuat komen di media sosial.

"Yang penting ialah kita tidak mudah menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak. Saya tahu ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh pada waktu ini dengan mempolitikkan masalah yang sedang dihadapi oleh negara.

"Jangan kita pedulikan mereka. Kita mesti fokus kepada usaha untuk menangani pandemik ini secara bersama," ujarnya ketika menyampaikan perutusan khas mengenai situasi semasa Covid-19 pada petang Selasa.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata buat masa ini, kerajaan belum ke arah untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara atau total lockdown.

"Apa yang akan dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes-kes Covid-19 yang tinggi.

"Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan SOP yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas," ujarnya.

Begitu juga dengan sesi persekolahan, perdana menteri berkata setakat ini kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah-sekolah di kawasan zon merah seperti di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna, Sabah.

"Jika perlu, keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 setelah menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, Sabah, pandangan, MKN

Artikel Lain