suria

Bayi setahun antara 4 korban terbaharu Covid-19! Angka terus meningkat, Malaysia rekod 691 kes pada Selasa

Sehingga kini, Malaysia merekodkan 13,504 kes positif Covid-19. Foto: Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan jumlah paling tinggi setakat ini, iaitu sebanyak 691 kes menjadikan keseluruhan 13,504 kes setakat Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,936 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata daripada 691 kes tersebut, 688 kes adalah kes penularan tempatan yang melibatkan 661 warganegara dan 27 rakyat asing, manakala baki tiga kes lagi adalah kes import melibatkan seorang warganegara dan dua rakyat asing.

ARTIKEL BERKAITAN: Paling tinggi! 432 kes Covid-19 direkodkan, 429 libatkan jangkitan tempatan

Daripada 688 kes penularan tempatan, 394 kes merupakan kes yang dikesan daripada Kluster Tembok di penjara di Kedah.

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 141 kes," katanya menerusi sidang media pada petang Selasa.

Sidang media pada kali ini adalah yang pertama berlangsung dari kediaman Dr Noor Hisham sendiri, susulan beliau sedang menjalani proses kuarantin kendiri setelah menghadiri mesyuarat yang melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 87 kes telah pulih Covid-19 pada Selasa dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,427 kes.

"Sehingga kini, terdapat 31 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana lapan kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Berikut adalah perincian empat kes kematian pada Selasa:

1) Kes kematian ke-138 (iaitu kes ke- 11154) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September 2020. Saringan Covid-19 didapati positif pada 26 September 2020. Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 6.50 pagi.

2) Kes kematian ke-139 (iaitu kes ke-12431) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September 2020. Saringan Covid-19 didapati positif pada 30 September 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 5.05 pagi.

3) Kes kematian ke-140 (iaitu kes ke-12432) merupakan bayi perempuan warganegara Malaysia berumur 1 tahun. Kes dibawa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober 2020. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan Covid-19 didapati positif pada 5 Oktober 2020. Kes disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang.

4) Kes kematian ke-141 (iaitu kes ke-13067) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental. Kes ditemui tidak sedar diri pada 5 Oktober 2020, jam 7 pagi dan terus dibawa terus ke Hospital Pulau Pinang. Kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia 5 Oktober 2020 jam 7.50 pagi. Saringan Covid-19 dikesan positif.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, bayi, korban

Artikel Lain