suria

Sekatan perjalanan keluar, masuk ke Sabah dikuatkuasakan mulai esok

Sekatan keluar masuk ke Sabah akan berkuatkuasa bermula esok. Foto: Bernama

SEKATAN perjalanan keluar dari Sabah akan dikuatkuasakan bermula Rabu (7 Oktober) hingga 20 Oktober depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu berikutan peningkatan kes Covid-19.

Beliau berkata, sekatan perjalanan itu meliputi perjalanan dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Berkuatkuasa Ahad... Semua individu pulang dari Sabah wajib jalani ujian Covid-19, pakai gelang kuarantin

"Bagaimanapun terdapat pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu yang melibatkan kes kecemasan, kematian, perkhidmatan perlu dan lain-lain, yang perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Mereka yang telah mendapat kebenaran, perlu menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing," katanya dalam kenyataan harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP), pada Selasa.

Jelasnya bagi pergerakan masuk ke negeri itu pula, kebenaran akan diberikan kepada beberapa kategori iaitu rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H dan pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia, yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.

Selain itu kebenaran turut diberikan kepada pekerja bidang perkhidmatan perlu yang mempunyai pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh dan pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad pelajar daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah.

Turut dibenarkan, pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk, dalam passport.

Katanya bagi anggota perkhidmatan awam persekutuan yang berkhidmat di Sabah, mereka perlu mendapatkan cop Seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di Pejabat Imigresen Sabah, setelah masuk ke negeri itu.

Mereka yang ingin memasuki negeri itu perlu membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan dan perlu menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM, setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

Sebarang pertanyaan lain boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Sabah di talian 088-369434. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

sekatan perjalanan, Sabah, Covid-19

Artikel Lain