suria

Berkuatkuasa Ahad... Semua individu pulang dari Sabah wajib jalani ujian Covid-19, pakai gelang kuarantin

Semua individu pulang dari Sabah diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19. Gambar hiasan/Foto Benama

SEMUA individu yang baru pulang dari Sabah diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 27 September sehingga 10 Oktober depan, berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 10 kes positif Covid-19 setelah kembali dari Sabah pada 20 hingga 25 September 2020.

"Pada hari ini (26 September 2020) pula, terdapat 11 lagi kes positif Covid-19 yang dikesan di Semenanjung setelah kembali dari Sabah. Peningkatan kes dan kluster Covid-19 di Sabah masih berterusan dan empat daerah dikenal pasti sebagai zon merah (kes Covid-19 melebihi 40 kes dalam tempoh 14 hari).

"Mengambil kira situasi semasa ini, terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu dengan sejarah perjalanan dari Sabah bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu-individu tersebut.

"Bermula 27 September 2020 sehingga 10 Oktober 2020, aktiviti saringan akan dijalankan kepada semua individu yang baru tiba dari Sabah di semua pintu masuk (domestik dan antarabangsa)," katanya dalam satu kenyataan, petang Sabtu.

Berikut adalah senarai yang diwajibkan ke atas semua individu yang pulang dari Sabah bermula 27 September sehingga 10 Oktober depan:

1. Memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera dan daftar masuk (check-in) menggunakan aplikasi ini setibanya di pintu masuk (Domestik dan Antarabangsa).

2. Menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan ujian saringan pengesanan Covid-19 sejurus tiba di pintu masuk (Domestik dan Antarabangsa).

3. Menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO). Kesemua individu di pintu masuk (Domestik dan Antarabangsa) akan diberi surat HSO, dan dipakaikan gelang kuarantin. Tarikh HSO akan bermula dari tarikh ketibaan di pintu masuk (Domestik dan Antarabangsa) sehingga keputusan makmal diperolehi. Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif Covid-19.

4. Sekiranya terdapat individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan kereta Grab, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari tersebut.

5. Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu tersebut perlu menjalani saringan ulangan bagi Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, saringan ke atas individu warganegara dan bukan warganegara yang pulang dari Sabah dikecualikan daripada caj ujian Covid-19.

"Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa.

"Ia berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa tersebut dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitannya akan dimaklumkan kepada umum," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain