suria

Covid-19: 82 kes baharu direkodkan, 79 libatkan jangkitan tempatan

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Gambar hiasan/Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 82 kes baharu, menjadikan keseluruhan 10,769 kes setakat Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 851 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 82 kes baharu yang dilaporkan, tiga adalah kes import melibatkan dua warganegara dan seorang bukan warganegara yang pulang dari luar negara.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 79 kes adalah penularan tempatan, terdiri daripada 53 warganegara Malaysia dan 26 bukan warganegara.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 133 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 89 kes telah pulih Covid-19 pada Sabtu dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 9,785 kes.

"Sehingga kini, terdapat terdapat lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kes, Covid-19, Dr Noor Hisham Abdullah,

Artikel Lain