suria

Elektrik Malaysia melonjak ke tangga ke-4 ranking dunia, TWGGE fokus perbaiki kualiti kuasa

TWGGE bakal membuka peluang lebih besar untuk menarik kehadiran pelabur khususnya dalam industri elektrik dan elektronik di negara ini.

DALAM usaha menarik lebih ramai pelabur asing khususnya dari industri elektrik dan elektronik, Technical Working Group On Getting Electricity (TWGGE) dibentuk bagi menambah baik persekitaran perniagaan di Malaysia khususnya dalam mendapatkan bekalan elektrik.

TWGGE dibentuk secara kolaboratif antara sektor awam dan swasta, dan dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood bersama Pengerusi Nexus Produktiviti Elektrikal & Elektronik, Datuk Seri Wong Siew Hai.

Selain itu, ia turut disertai oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama pihak berkepentingan yang lain dan disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).



Menerusi laporan World Bank Doing Business terbaharu berkaitan bekalan elektrik, Malaysia pada tahun 2011 menduduki tangga ke-60 sebelum melonjak ke kedudukan keempat pada tahun lalu.

Namun kata Siew Hai yang juga ahli Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), pihaknya turut mendapat maklum balas daripada industri berhubung masalah kualiti lain yang tidak diukur dalam ranking Bank Dunia.

Menurutnya, isu kualiti kuasa (power quality) yang wujud memberi kesan terhadap kilang-kilang khususnya dari industri elektrik dan elektronik dan ia menjadi antara inisiatif utama yang dibincangkan menerusi TWGGE.

"TWGGE berada di bawah pasukan petugas khas Pemudah yang mana kita fokus untuk menambah baik ranking Malaysia dalam penilaian Bank Dunia menerusi Global Competetiveness Ranking, melibatkan 180 negara dalam pemantauan Bank Dunia.

Champion Electrical and Electronics Productivity Nexus, Datuk Seri Wong Siew Hai.

"Pada hari ini kita berada pada kedudukan keempat. Apabila kita berada dalam kedudukan yang baik, kita juga mendapat maklum balas dari industri. Salah satu ialah kualiti kuasa. Kualiti kuasa memberi kesan kepada prestasi kilang-kilang dalam pembuatan mereka.

"Jadi kami membuat keputusan untuk bukan sahaja melihat kepada kriteria Bank Dunia, namun melihat juga kepada kualiti kuasa yang memberi kesan kepada industri," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Razib turut melihat isu kualiti kuasa sebagai satu kebimbangan yang memberi kesan lebih besar khususnya terhadap sektor pembuatan teknologi tinggi.

Justeru itu, inisiatif menerusi TWGGE bagi menambahbaik aspek kualiti kuasa di negara ini adalah sejajar dengan saranan yang dinyatakan dalam Malaysia Productivity Blueprint. Ianya dilihat berupaya memudahkan urusan perniagaan dan meningkatkan daya saing serta produktiviti.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood.

"Sebagaimana dinyatakan oleh kebanyakan syarikat elektrik dan elektronik menerusi forum-forum sebelum ini, mereka membangkitkan isu kualiti kuasa.

"Sebagai maklum balas terhadap kebimbangan sektor swasta berkaitan isu kualiti kuasa, Pemudah meminta TWGGE untuk mengatasi isu berkenaan," ujarnya.

Menurutnya lagi, Suruhanjaya Tenaga juga berperanan dalam memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh pihak pembekal tenaga terbabit untuk berada pada tahap terbaik dengan penguatkuasaan Standard Prestasi Perkhidmatan Bekalan Elektrik seperti Guaranteed Service Level (GSL) dan Minimum Service Level (MSL).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain