suria

Perdana Menteri jalani kuarantin kendiri 14 hari

Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menjalani kuarantin kendiri.

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selama 14 hari.

Langkah itu susulan beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Sabtu lalu.

Zulkifli pada Isnin telah disahkan positif jangkitan Covid-19 dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah ke Sabah, Dr Zulkifli sah positif Covid-19... ramai doakan segera sembuh, tapi ada pertikai kenapa tak kuarantin? - “Banyak tempat Datuk pergi... program terakhir di universiti”

"Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Muhyiddin berkata beliau melakukan ujian pengesanan Covid-19 (ujian swab) setiap dua minggu sejak April lepas sebagai langkah berjaga-jaga dan kesemua ujian pengesanan telah disahkan negatif.

Selain itu, katanya beliau telah melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22,26 dan 29 September dan juga didapati negatif.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan ujian pengesanan Covid-19 ke atas semua ahli dan urusetia mesyuarat berkenaan.

"Berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuarat ini telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober 2020 dan dipakaikan gelang pengawasan," katanya.

Katanya, ahli mesyuarat yang bukan merupakan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari bermula dari 3 Oktober hingga 16 Oktober ini dan memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari menggunakan 'home assessment tool' (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain