suria

Lagi gangguan air berlaku gara-gara pencemaran sungai... lebih 300,000 pengguna di Lembah Klang terjejas

Lebih 300,000 pengguna di Lembah Klang bakal terjejas ekoran gangguan bekalan air tidak berjadual yang berpunca daripada pencemaran di Sungai Semenyih. Foto: Bernama

LEBIH daripada 300,000 pengguna di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang bakal mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berpunca daripada pencemaran sungai.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji-loji berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Masalah bekalan air sekitar Petaling pulih sepenuhnya

"Penghentian tugas loji ini akan menjejaskan 274 kawasan, di mana 309,687 pengguna akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual di empat daerah, iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Air Selangor berkata ia telah melaporkan kejadian itu kepada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan sedang mengesan secara aktif punca pencemaran di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai berhampiran.

Pelan tindakan kecemasan (ERP) juga telah diaktifkan bagi membantu pengguna yang terjejas susulan kejadian ini, katanya.

Air Selangor berkata pada masa ini, pihaknya masih belum dapat memberikan tempoh waktu bila bekalan air akan dipulihkan.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan mengenai kejadian ini dari semasa ke semasa melalui semua media, terutamanya media massa," tambahnya.

Pengguna diminta merujuk kepada aplikasi dan laman web Air Selangor serta saluran media sosial rasminya termasuk Facebook, Twitter dan Instagram untuk maklumat terkini. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain