suria

Tak serik! Lagi geng gelang pink selamba makan di restoran

Seorang lelaki yang memakai 'gelang merah jambu' ditahan selepas disyaki melanggar syarat kuarantin. Gambar hiasan

TIDAK serik kes geng 'gelang merah jambu' yang tidak bertanggujawab.

Terbaharu, seorang lelaki yang memakai 'gelang merah jambu' ditahan selepas disyaki melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19 dengan makan di sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Sabtu malam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di hadapan restoran itu kira-kira pukul 7.30 malam setelah menerima aduan daripada orang awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Makcik pakai tudung, wristband pink... tunggu denda dan tindakan selanjutnya

ARTIKEL BERKAITAN: Amboi, selambanya! Selepas makcik, 'bro' berseluar pendek tak segan silu lepak kopitiam pakai tag pink - "Aku terus blah sebab..."

"Semakan mendapati lelaki berkenaan diarahkan menjalani kuarantin di rumah bermula semalam (Sabtu) hingga 16 Oktober depan selepas ujian saringan Covid-19 di klia2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2) dan keputusan (ujian saringan) masih belum diterima," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, lelaki itu akan direman pada Isnin bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

Selain itu, katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 8) 2020.

"Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi perintah menjalani kuarantin yang telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan keselamatan mereka, keluarga serta orang lain. Perbuatan ini juga boleh menggusarkan masyarakat sekitar," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar menunjukkan sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain