suria

Malaysia catat 11 kes positif Covid-19, KKM dedah kewujudan 1 kluster baharu di Semenyih

Malaysia merekodkan 11 kes positif Covid-19 pada Jumaat.

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 11 kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,385 kes setakat Jumaat.

Daripada 11 kes baharu yang telah dilaporkan, tujuh merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara dan selebihnya merupakan penularan tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kematian... Malaysia catat 14 kes baharu positif Covid-19,10 libatkan 3 kluster

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 128 kematian.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 128 kes," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat petang.

Sehingga hari ini, sembilan kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 9,092 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, empat kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan terdapat kluster baharu telah dikenalpasti di DTI Semenyih, Selangor.

Kes indeks kluster ini merupakan seorang tahanan yang bakal dihantar balik ke negara asalnya.

Justeru, dia telah disaring untuk Covid-19 di Klinik Kesihatan dan dikesan positif pada 27 Ogos 2020 (iaitu kes ke-9302).

Kes kedua dan ketiga kluster (iaitu kes ke-9382 dan kes ke-9384) merupakan pegawai imigresen di DTI tersebut yang telah mengiringi kes indeks ke Klinik Kesihatan bagi saringan Covid-19.

Mereka adalah dua daripada empat orang pegawai imigresen yang mengiringi kes indeks yang telah dikesan positif Covid-19.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di DTI Semenyih.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain