suria

“Itu adalah satu kesilapan, beliau telah memohon maaf” - Saifuddin akui 'keterlanjuran' timbalannya ulas isu Veveonah

Datuk Saifuddin Abdullah mengakui bahawa tindakan timbalannya merupakan satu kesilapan bersabit isu Veveonah.

SUSULAN kenyataan Datuk Zahidi Zainul Abidin mengenai pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin pada Khamis, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui bahawa tindakan timbalannya merupakan satu kesilapan.

Menurutnya, Zahidi akan memperbetulkan kenyataan yang telah tercatat di dalam hansard apabila hadir ke Dewan Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwa Veveonah tak ambil peperiksaan, video panjat pokok hanya sekadar 'content' YouTube... Timbalan Menteri mohon maaf

"Pada saya itu adalah satu kesilapan dan beliau telah pun memohon maaf," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Tanjak Merdeka di kementeriannya di Putrajaya pada Jumaat.

Pada Khamis, Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia mendakwa Veveonah tidak mengambil peperiksaan sebagaimana yang dipaparkan menerusi videonya memanjat pokok untuk mencari capaian internet, yang tular beberapa bulan lalu.

Dia yang ketika itu menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin berkata, rakaman berkenaan hanya sebagai 'content' pelajar berkenaan yang juga seorang YouTuber.

Bagaimanapun, tidak lama selepas membuat kenyataan tersebut, Zahidi tampil mengemukakan permohonan maaf kepada Veveonah menerusi satu posting di Facebook.

Menurut Zahidi, beliau telah menerima maklumat tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan berkenaan.

Zahidi turut berjanji akan membuat pembetulan mengenainya di Dewan Negara, Isnin depan. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain