suria

Tiada kematian... Malaysia catat 14 kes baharu positif Covid-19, 10 libatkan 3 kluster

Malaysia merekodkan 14 kes baharu positif Covid-19 pada Khamis. Foto: Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 14 kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,374 kes setakat Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 163 dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 14 kes baharu yang dilaporkkan, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, masing-masing melibatkan dua warganegara Malaysia dan dua rakyat asing.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkini 6 kes baharu Covid-19 direkodkan, 4 pesakit di ICU

Sementara itu daripada 10 kes penularan tempatan, enam kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia di mana tiga kes melibatkan Kluster Tawar (Kedah), satu kes Kluster Telaga (Kedah) dan dua kes daripada Kluster Benteng di Lahad Datu, Sabah.

Selain itu, baki empat kes jangkitan dalam negara dalam kalangan warga asing pula direkodkan di Sabah iaitu kes daripada Kluster Benteng.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak empat kes telah pulih Covid-19 pada Rabu dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 9,083 kes.

"Sehingga kini, terdapat empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain