suria

Kluster PUI Sivagangga bakal diisytihar tamat, tiada kes baharu direkod selama 23 hari

Restoran Nasi Kandar Salleh, di Kubang Pasu yang dimiliki oleh kes indeks kluster ini. Foto: The Star

KLUSTER PUI Sivagangga yang pernah menjadi punca penularan kepada kes positif Covid-19 di beberapa negeri, akan diisytiharkan tamat sekiranya tiada kes baharu selepas 28 hari.

Menerusi satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata kesemua 45 kes positif dari kluster berkenaan telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster PUI Sivagangga: Empat mukim di Kedah dikenakan PKPD Pentadbiran, 7,000 penduduk jalani ujian saringan

"Dua kes terakhir kluster itu dilaporkan pada 9 Ogos lalu dan kedua-duanya lelaki dari generasi ketiga.

"Sehingga hari ini, kluster ini tiada kes baharu selama 23 hari dan akan diisytiharkan tamat jika tiada kes baharu selepas 28 hari," menurut kenyataan berkenaan.

Kluster PUI Sivagangga telah menjangkiti 45 pesakit di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis sejak dikesan pada 28 Julai.

Kes indeksnya, pesakit ke-8,937, adalah penduduk tetap berusia 57 tahun yang memiliki restoran nasi kandar di Kubang Pasu, Kedah.

Tambah kenyataan itu lagi, kluster aktif terbesar pada masa kini adalah Kluster Tawar - yang berpusat di Kedah dan Pulau Pinang dan masih mempunyai 33 pesakit yang sedang dirawat.

"Kes aktif terbesar ketika ini ialah Kluster Tawar dengan 33 masih dirawat, 40 discaj dan 2 kematian.

"Sebanyak 13 kluster aktif setakat 1 September termasuk kluster terbaharu, Kluster Benteng Lahad Datu, Sabah," demikian kenyataan berkenaan. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain