suria

Sesiapa dari negeri kluster aktif Covid-19 akan dilarang masuk Sabah - Shafie

Shafie memberi peringatan kepada individu yang mahu masuk ke Sabah. Foto ZULAZHAR SHEBLEE / THE STAR

SESIAPA yang datang dari negeri-negeri dengan kluster Covid-19 yang aktif akan dilarang memasuki Sabah, kata Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, pihak berkuasa lapangan terbang perlu memastikan pengimbas suhu digunakan dan berfungsi, manakala cecair pembasmi kuman atau hand sanitiser juga disediakan.

Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada langkah-langkah untuk mencegah penularan virus itu di Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita 80 tahun korban ke-128 Covid-19,14 kes lagi direkodkan... terbaharu Kluster Benteng dikesan di lokap polis Sabah

"Kita memantau perkembangan dan kes Covid-19 setiap hari, seperti yang berlaku di lokap Lahad Datu, kita terus pantau dengan teliti," katanya.

Mohd Shafie berkata, mereka bernasib baik kerana keadaan Covid-19 di Sabah tidak begitu buruk setakat ini.

"Untuk kempen dan program yang berkaitan dengan pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang, pastikan SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi dengan ketat," katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya perhimpunan dalam jumlah besar tidak diadakan, terutama yang sukar dikawal dan SOP sukar dilaksanakan.

Shafie juga mengarahkan semua pegawai yang terlibat dalam PRN akan datang dilengkapi dengan topeng muka, hand sanitiser dan menjaga jarak fizikal sepanjang masa hingga selesai pengiraan undi.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri menyediakan 10 juta topeng muka dan hand sanitiser untuk kegunaan pegawai pilihan raya dan daerah sepanjang PRN.

Pada 1 September, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kluster baharu iaitu Kluster Benteng di Lahad Datu dengan tujuh kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, kluster baharu itu dikesan setelah 50 tahanan baharu di ibu pejabat polis Lahad Datu menjalani ujian Covid-19 pada 28 Ogos. - The Star

Artikel Lain