suria

Wanita 80 tahun korban ke-128 Covid-19 ,14 kes lagi direkodkan... terbaharu Kluster Benteng dikesan di lokap polis Sabah

Sebanyak 14 kes baharu Covid-19 dan satu kes kematian direkodkan pada Selasa.

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 14 kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,354 kes setakat Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 151 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 14 kes baharu yang dilaporkan, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan kesemuanya melibatkan warga asing.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 catat korban dua hari berturut-turut, terkini kluster Bunga babit kru kapal di PD

Sementara itu, daripada sembilan kes penularan di dalam negara, lima kes melibatkan warganegara Malaysia dan empat kes melibatkan rakyat asing.

"Adalah dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 128 kes," katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 pada petang Selasa.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 21 kes telah pulih Covid-19 pada Selasa dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 9,075 kes.

"Sehingga kini, terdapat lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, satu kluster baharu telah dikenal pasti di Sabah iaitu Kluster Benteng, hasil saringan terhadap tahanan baharu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, Sabah.

"Setakat ini seramai 50 tahanan telah disaring pada 28 Ogos 2020. Daripada jumlah ini, tujuh kes dikesan positif Covid-19 dan 43 individu negatif.

"Kes positif Covid-19 kluster ini melibatkan enam pendatang asing tanpa izin (Pati) dan seorang warganegara Malaysia. Kesemuanya tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospial Lahad Datu, Sabah," katanya.

Berikut adalah butiran kes kematian ke-128:

Kes kematian ke-128 (kes ke-9,174) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru dan darah tinggi.

Beliau merupakan salah satu kes positif yang telah dilaporkan pada 15 Ogos 2020 dalam kluster Tawar.

Beliau mula mengalami gejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Pada 14 Ogos 2020, beliau dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang setelah didapati positif Covid-19.

Keadaan kesihatan beliau merosot dengan komplikasi daripada barah paru-paru justeru memerlukan bantuan pernafasan sejak 24 Ogos 2020.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 1 September Ogos 2020 jam 10.30 pagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, Kluster Benteng

Artikel Lain