suria

Kerajaan sedia laksana pakej rangsangan ekonomi tambahan jika perlu - “Saya bukan saja perlu jaga kesejahteraan rakyat tapi mata pencarian mereka juga”

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada majlis Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di ibu negara, pada Selasa. Foto: The Star/Glenn Guan

DALAM membantu rakyat menghadapi kekangan ekonomi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersedia melaksanakan pakej rangsangan ekonomi tambahan serta inisiatif lain.

Ujar Muhyiddin yang dipetik Astro Awani, langkah berkenaan sedia dilaksanakan kerajaan sekiranya ada keperluan dan kewangan negara mengizinkan.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengambil berat tentang rakyat tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit. Ini keutamaan saya.

"Apa yang telah saya lakukan dalam tempoh enam bulan lepas adalah berasaskan prinsip ini. Saya bukan sahaja perlu menjaga kesejahteraan rakyat tetapi juga mata pencarian mereka," katanya sambil menambah keprihatinan kepada rakyat adalah prinsip utama yang diberi perhatian oleh beliau dan kerajaan PN.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di ibu negara, pada Selasa.

Konvensyen anjuran Pertubuhan Intelektual Negara itu turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin mengakui ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, hampir kesemua aktiviti ekonomi terhenti dengan rakyat tidak boleh keluar bekerja dan berniaga seperti biasa, menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

"Kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat menerusi pakej-pakej rangsangan ekonomi yang kesemuanya bernilai RM295 bilion. Ramai yang telah menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan oleh kerajaan," ujarnya.

Tegasnya lagi, kedudukannya bukan satu perkara penting tetapi bagaimana amanah kepimpinan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dijalankan.

"Amanah kepimpinan ini adalah satu ujian buat saya dan saya mesti melakukan perkara yang betul. Saya tidak boleh sekali-kali berkompromi tentang hal prinsip," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain