suria

Covid-19 catat korban dua hari berturut-turut, terkini kluster Bunga babit kru kapal di PD

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. -foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan enam kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,340 kes setakat Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 159 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada enam kes baharu yang dilaporkan, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan dua warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

Menurut Dr Noor Hisham, kedua-dua kes penularan di dalam negara melibatkan warganegara Malaysia di Kedah, masing-masing satu daripada kluster Tawar dan kluster Telaga.

"Adalah dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 127 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak enam kes telah pulih Covid-19 pada Isnin dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 9,054 kes.

"Sehingga kini, terdapat enam kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, satu kluster baharu yang terpencil dikenal pasti melibatkan kakitangan sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan iaitu kluster Bunga.

Beliau menambah, kapal tersebut mempunyai sejarah perjalanan dari Pelabuhan Singapura.

"Seramai 34 kru kapal yang bertugas dalam kapal ini telah disaring pada 28 Ogos 2020 bagi tujuan sign-in dan sign-off kapal.

"Daripada jumlah ini, empat kes dikesan positif Covid-19; enam (negatif) dan 24 individu masih menunggu keputusan," katanya sambil menambah empat kes positif kluster itu tidak mengalami gejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor.

Berikut adalah butiran kes kematian ke-127:

Kes kematian ke-127 (kes ke-9124) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau merupakan salah satu kes positif yang telah dilaporkan pada 13 Ogos 2020 dalam kluster Tawar.

Beliau mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 13 Ogos 2020 setelah didapati positif Covid-19.

Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos 2020.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos 2020 jam 10.35 malam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain