suria

Malaysia laksana sekatan bermula 7 September untuk rakyat dari negara catat kes Covid-19 tertinggi, Amerika dan UK turut tersenarai

Rakyat dari negara yang mencatatkan kes Covid-19 melebihi 150,000 kes tidak dibenarkan memasuki Malaysia bermula 7 September. Gambar hiasan

MALAYSIA tidak membenarkan rakyat dari negara yang mencatatkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke negara ini bermula Isnin depan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujarnya, antara negara dalam senarai sekatan itu ialah Amerika Syarikat, Brazil, Perancis, United Kingdom (UK), Sepanyol, Itali, Arab Saudi, Rusia dan Bangladesh selain tiga negara yang diumumkan pada Selasa lalu iaitu India, Indonesia dan Filipina.

ARTIKEL BERKAITAN: Daripada 8,011 individu pulang dari luar negara sejak 24 Julai, seramai 20 sah dijangkiti Covid-19

"Kita akan tambah lagi (senarai negara) yang dianggap berisiko tinggi.

"Kecuali jika kes melibatkan kecemasan atau urusan berkaitan hubungan dua negara. Bagaimanapun, ia perlu mendapat kebenaran Jabatan Imigresen," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kempen Pembudayaan Normal Baharu di Putrajaya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan akan mengumumkan lebih lanjut mengenai senarai negara yang merekodkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000.

Kelmarin, Ismail Sabri mengumumkan sekatan kemasukan pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia dan Filipina ke Malaysia bermula 7 September ini berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di negara berkenaan.

Sekatan itu merangkumi enam kategori iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.

Turut disekat ialah pasangan kepada warganegara Malaysia dan anak-anak mereka serta pelajar dari ketiga-ketiga negara berkenaan yang ingin kembali ke Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan tiada halangan untuk membenarkan rakyat Malaysia dari negara berisiko tinggi untuk pulang namun mereka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu kuarantin wajib 14 hari. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, sekatan, Amerika, UK

Artikel Lain