suria

Beberapa pemimpin didakwa tak pakai topi keledar, JPJ jangan bagi muka kata Anthony Loke – “Hantar saman kepada orang-orang ini”

Anthony Loke di Dewan Rakyat menunjukkan gambar beberapa pemimpin negara didakwa tidak memakai topi keledar.

BEKAS Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenakan saman terhadap segelintir pemimpin negara yang didakwa tidak memakai topi keledar.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat di Parlimen, beliau mendakwa beberapa pemimpin tidak memakai topi keledar semasa berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, baru-baru ini.

Susulan itu, beliau merujuk kepada laporan media yang memetik JPJ Terengganu bahawa penunggang motosikal perlu sentiasa memakai topi keledar sewaktu menunggang motosikal di kawasan kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri didakwa langgar perintah kuarantin, PM kata semua rakyat tertakluk kepada undang-undang - "Tidak ada sesiapa pun yang terkecuali"

"Tetapi masalahnya ada ramai orang melihat remeh perkara ini, tak pakai topi keledar... termasuk pemimpin-pemimpin negara. Termasuk menteri, termasuk ahli Parlimen.

"Terutama dalam kempen pilihan raya kecil. Ada orang politik terutama pemimpin negara, nak tunjukkan mereka dekat dengan rakyat ambil (tunggang) motosikal.

"Ambil motosikal tak apa, tapi pakailah topi keledar. Pakai helmet, tunjukkan satu contoh yang baik," katanya.

Malah, beliau menunjukkan bukti bergambar di Dewan Rakyat yang memaparkan beberapa pemimpin yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika PRK Slim.

Sehubungan itu, Anthony Loke menegaskan bahawa beliau akan menyerahkan kepada JPJ supaya tindakan saman dikenakan ke atas pemimpin-pemimpin negara yang didakwa melakukan kesalahan tersebut.

"Gambar-gambar ini saya akan hantar kepada pihak JPJ, saya sarankan penguat kuasa JPJ hantar saman kepada orang-orang ini.

"Jangan bagi muka. Tunjukkan bahawa penguatkuasaan undang-undang secara sama rata. Pihak JPJ yang duduk di belakang sana jangan bimbang ada back up daripada perdana menteri. Sebab perdana menteri mengeluarkan kenyataan semalam tak ada pilih kasih.

"Semua sama rata. Kalau menteri buat salah pun, menteri kena. Jadi, tunjukkan kita mengambil tindakan supaya beri mesej kepada orang ramai bahawa pakai topi keledar ini penting untuk menyelamatkan nyawa dan memastikan keselamatan kita sendiri," tambah Anthony Loke.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan bahawa tiada sesiapa pun terkecuali dikenakan tindakan sekiranya didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.

Beliau merujuk kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa melanggar perintah kuarantin selepas pulang dari Turki, 7 Julai lalu.

Menurut Muhyiddin, kerajaan ambil maklum dan memandang serius hal itu serta mahu siasatan menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil mengikut proses undang-undang negara ini.

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali," katanya dalam kenyataan.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain