suria

Kluster Tawar di Kedah meningkat kepada 73 kes, 6 lagi disahkan Covid-19 pada Rabu

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan enam kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,291 kes setakat Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 188 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada enam kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu Singapura, melibatkan bukan warganegara dan ia dilaporkan di Selangor.

Menurut Dr Noor Hisham, kesemua lima kes penularan di dalam negara melibatkan warganegara Malaysia di Kedah.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak tujuh kes telah pulih Covid-19 pada Rabu dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,978 kes.

"Sehingga kini, terdapat sembilan kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana enam kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Mengenai kluster Tawar di Kedah, Dr Noor Hisham berkata, tiga kes baharu yang dicatatkan pada Rabu menjadikan jumlah terkini daripada kluster itu sebanyak 73 kes.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain