suria

Terjejas akibat Covid-19? Kini platform BeliLokal bantu usahawan kecil... Sapot tempatan, beli lokal-lah!

SMG mewujudkan BeliLokal, sebuah platform perniagaan baharu bertujuan untuk menghubungkan para peniaga dan usahawan kecil dengan generasi pelanggan baru.

TEMPOH beberapa bulan kebelangan ini merupakan detik yang sukar bagi mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan.

Paling terkesan, tentunya pengusaha jenama tempatan serta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sehubungan itu, BeliLokal, sebuah platform perniagaan baharu diwujudkan bertujuan untuk menghubungkan golongan peniaga ini dengan generasi pelanggan baru.

Semua sedia maklum, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 beberapa bulan sebelum ini mengakibatkan rata-rata usahawan PKS kehilangan mata pencarian.

Menyedari kesukaran golongan ini untuk berhubung dengan pelanggan mereka, Star Media Group Berhad (SMG) dengan pantas mewujudkan halaman Perkhidmatan Penghantaran (Delivery Services) pada semua platformnya, sama ada media cetak atau digital.

Susulan kejayaan inisiatif tersebut, SMG kini mengembangkannya menerusi satu lagi saluran dikenali sebagai BeliLokal.

"Ini adalah peranan kami untuk memacu ekonomi dan menyokong industri PKS tempatan.

"Akibat krisis ini, sektor perniagaan dalam negara kita bergelut untuk terus bertahan dan memerlukan bantuan, lebih-lebih lagi pada waktu sekarang.

"Inilah masanya untuk kita bersatu sebagai sebuah negara untuk saling menyokong dengan apa sahaja cara yang boleh.

"Kerana itulah kami mendapat inspirasi untuk mewujudkan BeliLokal, cara mudah bagi penduduk Malaysia untuk menyokong sesama rakyat negara ini," kata Ketua Pegawai Perniagaan SMG, Lydia Wang.

Meningkatkan visibiliti jenama

Portal ini yang berpaksikan kepada usaha menyokong perniagaan tempatan dengan cara yang menyeronokkan dan segar, mengambil pendekatan ‘hyper-localised’ untuk memudahkan penggunaan dan hubungannya dengan rakyat Malaysia.

Sebagai platform dari rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia, BeliLokal mempunyai kelebihan yang signifikan kerana disokong oleh SMG, kumpulan media berpengaruh dalam negara.

SMG kini menjangkau melebihi 24 juta khalayak pembaca, dengan platform media tersendiri menerusi platform digital, surat khabar, radio dan iklan yang merangkumi tiga bahasa (Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin).

"Kami ingin memberikan ruang kepada peniaga kecil untuk meningkatkan keterlihatan (visibiliti) mereka di pasaran. SMG berjanji untuk menyokong perniagaan mereka melalui seluruh platform kami, memanfaatkan liputan media kepada khalayak dengan mendorong aliran kepada portal ini," kata Lydia.

Ia bermakna bahawa satu-satu jenama akan mendapat pendedahan bukan sahaja di BeliLokal, tetapi juga mendapat manfaat apabila dipromosikan secara agresif di laman web The Star Online dan pelbagai platform media sosial SMG untuk membantu meningkatkan aliran (trafik) dan kesedaran mengenai jenama.

Bagaimanapun, ia perlu disokong dengan kekuatan jenama itu sendiri.

Untuk pengetahuan, bukan hanya jenama baharu yang mendapat manfaat menerusi BeliLokal, malah jenama yang sudah lama bertapak juga boleh menggunakan platform ini untuk mempamerkan produk atau perkhidmatan, serta memperlihatkan sisi berbeza mereka kepada pengguna.

"Kami ingin menghubungkan jiwa rakyat Malaysia melalui cara komunikasi kami dan mendorong negara untuk menyokong perniagaan tempatan.

"Kami tidak hanya menyenaraikan rakan kongsi dalam format direktori, tetapi membantu meningkatkan lagi jenama mereka," tegasnya lagi

Sebagai permulaan, BeliLokal menggunakan perniagaan dan jenama tempatan dalam lima kategori popular: makanan dan minuman, kesihatan dan kecantikan, kediaman dan tempat tinggal, pendidikan, dan perkhidmatan; dengan dijangka lebih banyak segmen bakal ditambah.

Dengan hanya satu klik, pelanggan kini dapat berhubung secara terus dengan peniaga untuk sebarang info berkaitan produk atau pertanyaan melalui WhatsApp, emel atau panggilan telefon, manakala untuk menjadi sebahagian daripada BeliLokal, mereka perlu mendaftar di laman sesawang.

Menghubungkan perniagaan dengan pengguna

Pengasas bersama Plant and Pots Studio, Jeff Loh, berpendapat adalah penting bagi perniagaan kecil untuk memiliki platform seperti BeliLokal bagi meningkatkan pendedahan jenama masing-masing

"Kami tidak mempunyai peruntukan yang besar untuk pemasaran; kami mempunyai belanjawan yang sangat terhad. Dengan BeliLokal, orang dapat mengenali kami dengan lebih baik dan secara tidak langsung mempunyai lebih banyak pendedahan kepada masyarakat.

"BeliLokal sangat penting kerana ia membantu rakyat Malaysia untuk menyokong perniagaan yang dibangunkan rakyat tempatan. Inilah bezanya ia jika dibandingkan dengan platform lain yang membawa jenama antarabangsa.

Sementara itu pengasas bersama MyBurgerLab, Chin Ren Yi turut senada dan berpendapat bahawa terdapat banyak perniagaan tempatan yang masih belum dikenali oleh masyarakat Malaysia.

"Banyak jenama tempatan yang tidak mempunyai peruntukan atau publisiti yang dimiliki oleh kebanyakan jenama antarabangsa. Dengan BeliLokal, fokus dan tumpuan lebih terarah kepada jenama tempatan untuk membantu kami menonjol dan membolehkan kami bertahan ketika melalui tempoh sukar ini.

"Bagi kami, ia terasa seperti wujudnya semangat patriotisme. Kami kumpulan pengusaha tempatan dan percaya dalam usaha menyokong masyarakat tempatan, menyediakan pekerjaan dan kelangsungan ekonomi,"katanya.

Bagi Pengarah Brahim's Holdings Bhd, Datuk Seri Ibrahim Ahmad pula, beliau menekankan betapa pentingnya menyokong perniagaan tempatan dengan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap jenama Malaysia.

"Matlamat BeliLokal untuk menyokong perniagaan tempatan memberi lebih banyak kesedaran tentang apa yang kita jual. Sebilangan orang masih tidak menyedari bahawa kami mempunyai produk makanan tempatan yang berkualiti tinggi setaraf dengan produk yang diimport," katanya.

Pengasas Claire Organics, Louise Chu menyifatkan BeliLokal sebagai satu inisiatif yang sangat baik kerana menyediakan platform kepada syarikat kecil untuk menjangkau para pengguna.

"Ia seperti satu penghargaan kepada jenama tempatan seperti kami. Ramai pengguna tempatan tidak tahu kemujudan kami, jadi ini adalah platform yang sangat baik untuk kami mempamerkan jenama dan produk.

"BeliLokal benar-benar senada dengan semangat setiap rakyat untuk menyokong antara satu sama lain," katanya.

Sapot tempatan, beli lokal-lah!!

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Aug 25, 2020 at 10:00pm PDT

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain