suria

“Hanya semalam dapat laporan penuh” - Dr Noor Hisham jelaskan pegawai atasan KKM tak dimaklumkan mengenai menteri ingkar kuarantin

Khairuddin telah memohon maaf dan menyumbangkan empat bulan gajinya sebagai menteri kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah KKM.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hanya mengetahui mengenai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengingkari perintah kuarantin di rumah, minggu lalu menerusi laporan media.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pegawai atasan KKM tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Tambah Dr Noor Hisham, hanya semalam beliau menerima laporan penuh berhubung perkara itu daripada pihak penyiasatan dalaman KKM.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairuddin mohon maaf tak patuh SOP, pulangkan 4 bulan gaji

"Hanya semalam saya dapat laporan penuh daripada pihak penyiasatan dalaman, laporan penuh apa yang berlaku dan kami tidak dimaklumkan. Jadi amat penting bagi petugas barisan hadapan kami, apa pun yang berlaku di luar sana, untuk memaklumkan kepada kami atau pegawai atasan supaya tindakan boleh diambil secepat mungkin.

"Jadi apa yang kami lakukan adalah kami mula melakukan penyiasatan kerana KP (Ketua Pengarah), timbalan KP dan juga ketua jabatan penyakit berjangkit tidak dimaklumkan. Sebab itu kenapa kami mengarahkan penyiasatan dalaman dilakukan, ” katanya pada sidang media pada petang Selasa.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Noor Hisham berkata kes itu kini di bawah penyiasatan polis.

"Penyiasatan dalaman telah dijalankan dan saya telah melihat laporan itu dan laporan itu telah diserahkan kepada polis. Jadi, kami serahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan perlu," katanya.

Mohd Khairuddin didakwa mengingkari perintah kuarantin di rumah dengan menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai.

Beliau dilaporkan pulang dari Turki pada 7 Julai dan menjalani ujian pengambilan sampel nasopharyngeal pada hari yang sama dan didapati negatif Covid-19. Ujian kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.

Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana menteri berkenaan tidak mematuhi arahan kuarantin sebagaimana yang diwajibkan ke atas rakyat.

Mohd Khairuddin kemudian dikenakan kompaun RM1,000 bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

Beliau telah memohon maaf dan menyumbangkan empat bulan gajinya sebagai menteri, dari Mei hingga Ogos, kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah KKM. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain