suria

Malaysia catat 11 kes Covid-19 pada Selasa, 5 kes Kluster Tawar babitkan pelajar sekolah rendah

Malaysia mencatatkan 11 kes positif Covid-19 pada Selasa. Foto: Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 11 kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,285 kes setakat Selasa.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 189 kes dan pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan.

Daripada 11 kes tersebut, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan seorang warganegara Malaysia dan seorang rakyat asing

Baki sembilan kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 7 kes baharu, 8 pesakit Covid-19 kini di ICU

"Di Kedah mencatatkan tujuh kes dengan lima kes daripada Kluster Tawar, satu kes saringan pra-pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim dan satu kes saringan bergejala.

"Di Selangor, satu kes dalam siasatan, beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Dan di Perlis, satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dikenalpasti di Hospital Tuanku Fauziah," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media pada petang Selasa.

Menurut beliau, tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 125 kematian.

Sehingga hari ini, enam kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 8,971 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, lapan kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu memperincikan lima kes daripada Kluster Tawar di Kedah, Dr Noor Hisham berkata, kesemua kes melibatkan pelajar sebuah sekolah rendah di negeri berkenaan.

"Mereka telah dikenalpasti melalui pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes positif kluster ini.

"Hasil siasatan mendapati mereka adalah kontak rapat kepada kes 9,197 yang merupakan seorang pelajar pra-sekolah. Kes ini dilaporkan pada 16 Ogos 2020.

"Ini menjadikan jumlah kes dalam kluster ini adalah 70 kes setakat ini," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain