suria

“Kami dilayan sangat baik” - Pesakit Covid-19 warga asing kongsi pengalaman dirawat di hospital... serba serbi cukup!

Sebahagian pekerja binaan warga asing membuat ujian saringan COVID-19 melalui Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso di Pusat Konvensyen CIDB baru-baru ini. Foto: Bernama

MENJADI mimpi buruk buat lelaki warga asing ini apabila dirinya dan 12 lagi anggota keluarga disahkan positif Covid-19.

Wajid Ali, seorang peniaga warga Pakistan hanya mengetahui dijangkiti virus itu pada Mac.

Mengimbau kembali detik itu, peniaga berusia 31 tahun itu berkata, ambulans datang ke rumahnya di Masjid India dan kemudian mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur, dan dirawat selama lebih tiga minggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nah! Doktor buka cerita bagaimana Pati dilayan ‘sebagai manusia’ di wad Covid-19, sangkal laporan Al Jazeera - “Apa lagi mereka mahu?”

"Semua bagus. Doktor bagus. Makan bagus. Semua okey. Kami dilayan sangat baik.

"Doktor dan jururawat sangat baik terhadap saya dan anak-anak saya," katanya kepada Bernama, sambil menambah mereka juga diberi makanan dan menukar pakaian setiap hari sepanjang menerima rawatan.

Namun, ayahnya meninggal dunia awal April selepas dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU).

"Ketika ayah saya dirawat di ICU, doktor sentiasa memaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenai keadaan ayah sehinggalah ayah saya meninggal dunia," kata Wajid.

Fasih bertutur dalam bahasa Melayu, beliau berkata 12 lagi anggota keluarganya ditawarkan tempat kuarantin apabila semuanya didapati negatif selepas menerima rawatan terakhir mereka.

"Tetapi pada kami lebih mudah untuk keluarga besar seperti kami memilih tinggal di hotel dengan perbelanjaan sendiri bagi menjalani kuarantin selama dua minggu," katanya.

Wajid yang menetap di sini selama 12 tahun, gembira kerana kerajaan Malaysia menyediakan rawatan percuma untuk Covid-19 walaupun kepada warga asing sepertinya.

Beliau berkata kos ujian saringan Covid-19 di hospital swasta mencecah RM580 setiap seorang.

Sementara itu, Mohd Humayun dari Bangladesh turut berkongsi maklum balas positif ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Mohd Humayun yang bekerja di Malaysia selama lima tahun disahkan positif Covid-19 ketika menjalani saringan untuk kluster Pasar Old Town PJ, tempat beliau bekerja.

"Mereka jaga kami dengan baik. Bagi makan, dua tiga hari kemudian datang periksa," katanya.

Rakan senegara, Kamal mengesahkan apa yang dikatakan Mohd Humayun.

"Sebelum dia balik, kami buat panggilan video. Saya tanya, mereka jaga macam mana? Dia cakap, mereka jaga dengan baik. Ubat tak banyak, rehat banyak, tak ada kacau,"katanya yang menggambarkan ia bagaikan satu percutian.

Sementara itu, rakan mereka, Zahid yang tinggal berdekatan Pasar Lama PJ ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Jalan Othman, berkata majoriti rakyat Malaysia melayan mereka dengan baik hanya segelintir bertindak sebaliknya.

"Ada yang salahkan orang asing yang duduk di sini jadi punca Covid-19. Tetapi di Malaysia... orang ramai, doktor, hospital semua tolong kami, jaga kami dengan baik, tolong kami untuk cepat sembuh," katanya.

Zahid berkata pekerja asing yang terjejas akibat langkah pencegahan untuk membendung penularan virus, turut menerima sumbangan daripada rakyat Malaysia, rakan dan keluarga.

"Sikit sahaja orang yang layan kami teruk. Yang lain semua jaga kami dengan elok,"katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, rawatan, warga asing, hospital

Artikel Lain