suria

Selepas diberitahu tak boleh balik cuti Aidiladha... terkini pelajar sekolah berasrama dibenarkan sambut raya bersama keluarga

KPM tiada halangan membenarkan murid pulang ke rumah untuk menyambut Hari Raya Aidiladha. fotoBERNAMA.

GOLONGAN pelajar di sekolah berasrama kini boleh menarik nafas lega selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan mereka dibenarkan pulang ke rumah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada hujung bulan ini.

Menurut kenyataan yang diedarkan kepada media pada Khamis, keputusan dibuat setelah mengambil maklum persoalan yang diketengahkan ibu bapa mengenai hal tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah dibuka semula 15 dan 22 Julai ini... guna kaedah 3 model

"Dengan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, KPM tiada halangan membenarkan murid pulang ke rumah untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.

"KPM sentiasa mengambil kira pandangan dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan semua murid sekolah berasrama dapat mengikuti pembelajaran di sekolah dalam keadaan yang selamat," ujar kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, pelajar di sekolah berasrama telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan sekolah masing-masing mengenai keputusan mereka tidak dapat bercuti pada sambutan Aidiladha ini hingga menyebabkan pelbagai pihak terutama ibu bapa tidak puas hati.

Malahan, ibu bapa bagi anak-anak istimewa (OKU) di sekolah berasrama pendidikan khas turut meluahkan rasa tidak senang dengan tindakan KPM yang menggunakan SOP standard tanpa mengambil kira aspek pelajar berkeperluan khas.

Setakat ini, pelajar di sekolah berasrama tidak dibenarkan outing atau balik bermalam pada hujung minggu atas faktor keselamatan kerana wabak Covid-19, bagaimanapun SOP berkenaan menyebabkan pelajar OKU berdepan dengan gangguan emosi kerana sukar untuk membiasakan diri dengan perubahan itu,

Dalam pada itu, KPM turut memberi saranan kepada ibu bapa, murid serta guru agar memberi kerjasama bagi memastikan pembukaan semula sekolah berasrama berjalan lancar.

Sebelum ini, KPM mengumumkan bahawa pembukaan semula sekolah bagi murid bukan kelas peperiksaan awam adalah secara berperingkat mulai 15 Julai 2020.

Namun, KPM turut memutuskan hanya murid tingkatan empat dan tingkatan enam semester satu tahun 2020 di sekolah berasrama di bawah KPM akan kembali bersekolah pada 15 Julai 2020.

Selain itu, murid tingkatan satu, tingkatan dua dan tingkatan tiga di sekolah berasrama akan memulakan persekolahan pada 3 Ogos 2020.

Keputusan ini terpakai kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM).

KPM, asrama, pelajar, Aidiladha

Artikel Lain