suria

Tiga kes positif Covid-19 pada Rabu, tiada penularan tempatan

Malaysia merekodkan tiga kes baharu positif Covid-19 pada Rabu. Foto: Bernama

TIGA kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,677 kes setakat Rabu.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 70 kes, yang mana pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada tiga kes tersebut, kesemuanya merupakan kes import membabitkan jangkitan luar negara di mana kesemuanya melibatkan warganegara.

"Tiada kes penularan tempatan dilaporkan pada hari ini," kata Dr Noor Hisham, dalam sidang media pada Rabu petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam kes Covid-19 direkodkan, 4 jangkitan import libatkan rakyat Malaysia

Ujarnya, tiada kes kematian terbaharu direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 121 kematian sahaja.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes iaitu bersamaan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Sehingga hari ini, lima kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 8,486 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, dua kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan satu memerlukan bantuan pernafasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, positif

Artikel Lain