suria

MAS beri diskaun kepada guru, pelajar dan pensyarah... kerajaan harap syarikat penerbangan lain pun turut serta

MAS setuju beri diskaun 20 peratus kepada guru, pensyarah dan juga pelajar IPTA serta IPTS bagi penerbangan domestik.

MALAYSIA Airlnes Berhad (MAS) bersetuju menawarkan diskaun 20 peratus kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, guru dan pensyarah bagi penerbangan domestik.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tawaran itu diberikan bagi memudahkan golongan tersebut yang perlu kembali ke tempat bekerja dan belajar masing-masing dalam masa terdekat.

"Menerusi hasil perbincangan dengan pihak pengurusan MAS, mereka setuju menawarkan diskaun 20 peratus kepada guru peringkat persekolahan dan pensyarah IPTA dan IPTS bagi perjalanan domestik.

"Tarikh penempahan bermula dari 9 Julai hingga 10 Ogos bagi perjalanan dari 10 Julai hingga 30 November ini. Diskaun boleh diperolehi menerusi dalam talian dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Rabu petang.

Bagi pelajar pula, Ismail Sabri berkata tawaran diskaun 20 peratus juga boleh dinikmati melalui program MH Explorer.

"Tawaran itu boleh diperolehi dengan menjadi ahli MH Explorer menerusi laman sesawang MAS.

"Diskaun pelajar akan terus dinikmati sehingga 30 November ini atau sehingga tamat tempoh keahlian mengikut syarat keahlian MAS Explorer," katanya.

Susulan itu, beliau turut menggesa syarikat penerbangan lain turut serta menyertai program tersebut.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan MAS di atas persetujuan tawar harga diskaun tersebut.

"Saya harapkan syarikat penerbangan lain boleh turut serta dalam menurunkan harga tiket penerbangan sebagaimana dilakukan MAS," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

IPTA, IPTS, diskaun, MAS, Ismail Sabri, PKPP

Artikel Lain