suria

Semakin sihat, bapa akui Ainul Mardhiah kini lasak - “Dia akan minum susu lapan kali sehari”

Ainul Mardhiah bersama ibu bapanya.

AINUL Mardhiah Ahmad Safiuddin, 21 bulan, yang pernah menghidap ketumbuhan dalam mulut iaitu ‘Germ Cell Tumor’ kini terus menunjukkan pertumbuhan fizikal dan perkembangan kesihatan yang positif selain semakin kerap menyusu.

Bapanya Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 25, berkata puteri sulungnya itu kini lebih memerlukan pengawasan kerana semakin aktif dan lasak serta banyak belajar perkara baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Harta boleh dicari, nyawa tiada ganti” - Ramai tak sanggup tengok derita Ainul Mardhiah, rela jual barang kesayangan

“Dia akan minum susu lapan kali sehari menggunakan tiub yang disambung dari leher ke mesin khas dan setiap kali minum susu ia mengambil masa sehingga satu jam dan dalam tempoh itu memang kena jaga kerana dia suka menarik tiub tersebut.

“Alhamdulillah secara keseluruhan kesihatan Ainul Mardhiah semakin baik selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam mulutnya tahun lepas, ” katanya kepada pemberita pada Program Ziarah Kasih Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali ke rumahnya di Taman Desa Molek, Ayer Molek, Melaka pada Sabtu.

Pada 23 April lepas, Bernama melaporkan Ahmad Safiuddin menzahirkan rasa syukur dan penantian selama setahun lapan bulan untuk mendengar suara Ainul Mardhiah akhirnya tertunai apabila dia sudah pandai menutup alat bantuan pernafasannya atau ‘trachy’ sendiri dan mengeluarkan suara.

Ahmad Safiuddin berkata kini Ainul Mardhiah akan mengeluarkan suaranya ketika hendak menyanyikan lagu dalam sebuah rancangan kartun animasi Islamik, Omar dan Hana yang sering ditontonnya.

Peniaga kedai runcit itu berkata anaknya itu masih perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Melaka.

Sementara itu, Sulaiman berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat akan terus membantu keluarga Ainul Mardhiah dari segi keperluan perubatan selain bantuan penjagaan Orang Kurang Upaya atau Pesakit Kronik Terlantar berjumlah RM350 sebulan sejak tahun lepas.

"Kita di peringkat kerajaan negeri prihatin dengan nasib yang menimpa adik Ainul Mardhiah dan berharap dia akan segera pulih seperti kanak-kanak lain. Kita akan lihat dari semasa ke semasa keperluannya yang boleh kita bantu untuk meringankan beban keluarga," katanya.

Ainul Mardhiah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya di sebuah hospital di London pada Jun tahun lepas.

Pembedahan berisiko tinggi itu dilakukan sekumpulan pakar bedah dan anestetik diketuai oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway selain turut disertai pelatih pakar bedah dari Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri dan seorang lagi doktor Malaysia, Dr Julian Ong.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain